Ujub yang mengerikan

Semakin ramainya yang memasuki dunia online hari ini. Kebanyakan mencari ilmu untuk meningkatkan jualan, menaikkan nama supaya dikenali.
Aku cuma berharap, aku, kita, tidak lupa mencari ilmu untuk menjaga hati. Jauhkan dari banyaknya penyakit hati. Antara yang paling mengerikan adalah UJUB.
Ujub ini merupakan sikap mengagumi diri sendiri sehingga berlebihan. Ia sangat dekat dengan kita. Tak jauh. Sedikit saja jaraknya.
Bagaimana ia jadi dekat?
Apabila kita berjaya membuat jualan tinggi dalam masa singkat, kita kata, "Hebat juga aku, aku berjaya dengan usaha aku. Sebab tak berhenti promot lah sale aku tinggi. Sebab aku usaha keraslah aku dapat macam ni."
Apabila kita berjaya membuat anak buah kita capai target, "Dengan ilmu dan pengalaman aku, aku bantu dia dapat apa yang dia nak. Aku lah yang bagi dia motivasi tiap hari. Kalau tak, dia tak tau nak buat."
Apabila tulisan kita dikagumi dan banyak yang memuji, kita rasa, "Inilah hasil aku belajar. Bakat aku bagus. Aku memang pandai menyusun kata. Aku memang bijak membuat orang rasa insaf."
Apabila kita mendapat follower yang ramai, "Aku bijak buat post viral. Aku pandai memilih content. Sebab itu ramai orang suka aku. Aku berjaya sentuh hati mereka."
Apabila kita mampu solat malam dengan banyak, "Aku istiqamah solat malam. Aku bangun dan solat, berzikir sebanyaknya. Tak ramai orang boleh buat macam aku."
--------------
Itu semua adalah contoh orang yang kagum pada kelebihan diri sendiri. Malah banyak lagi keadaan boleh membuatkan kita tergelincir ke dalam sifat ini.
Orang ujub ini dia sangat kagum dengan kemampuan dia dan berasa hebat sehingga dia begitu yakin yang semua pencapaian dia perolehi itu adalah atas usahanya sendiri. Atas kerja kerasnya sendiri. Atas kemampuannya sendiri.
Ada juga yang ujub dengan rupa paras nya yang cantik, dengan keturunannya yang hebat, dengan kesihatannya yang baik.
Atasi penyakit ujub ini sahabat, kerana ujub ini adalah salah satu cabang syirik. Kagum dengan keupayaan diri sehingga lupa semuanya dari Allah.
Seolah-olah pencapaian yang kita dapat adalah usaha kita BERSAMA Allah. Nauzhubillah! Allah itu Maha Berkuasa dan kita hanya makhluk yang dijadikan-NYA.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda, yang bermaksud,
'Tiga sifat yang membinasakan iaitu: kikir yang dipelihara, hawa nafsu yang diperturutkan, dan seseorang yang gemar membangga-banggakan dirinya.'
[Hadis Riwayat al-Haitsami]
-Sumber rujukan, Ihya-Ulumuddin, karangan Imam Al-Ghazali.
Rupanya, bila kita gagal, bila kita tidak mencapai apa yang kita mahu, ia mampu menghalang kita dari sifat ujub ini sahabat. Allah pelihara kita!
Bila kita berbuat dosa, kita tahu kita perlu taubat. Kita tahu kita ada buat salah.
Tapi orang ujub ini, dia rasa dia baik, dia di jalan yang betul. Dia tidak terlihat berbuat salah dan dosa. Dia tidak terfikir untuk bertaubat. Allah!
Ubatnya ujub ini, satu. Sentiasa ingat BAHAWA TIADA SATU PUN YANG KITA ADA MELAINKAN DARI ALLAH SAHAJA. Segala apa yang kita adalah adalah atas limpah kurnia Allah Ta'ala.
Jadi di sini, usah terlalu sedih, sampai jadi down, stress dan berputus asa bila kita tidak dapat mencapai apa yang kita mahu.
Sudah beberapa hari elok bangun solat tahajjud, ada hari yang kita tak sedar. Tak bangun. Syukurilah juga ia. Allah membentengkan kita dari rasa ujub.
Tidak capai target jualan? Padahal biasanya kita lah top achiever. Orang kata, kau sentuh apa pun jadi emas. Tapi bila kita jumpa gagal, syukurilah.
Kau jatuh di mata dunia, tapi kau disuruh bangkit semula untuk mendekat dengan Allah. Syukurlah Allah masih sayang.
Sentiasa ingat perkataan Nabi Sulaiman A.S.
هَذَا مِن فَضْلِ رَبِّي
"Ini adalah dari limpah kurnia Tuhanku."
Biasanya sifat ujub ini terdidik dari pujian orang terhadap kita. Oleh itu sahabat, usahlah memuji berlebihan.
Jika ada yang suka dengan penulisan CA, bacalah dan manfaatkan. Sharelah untuk sebarkan, tetapi tidak perlu disambung dengan pujian. Sesungguhnya semua itu adalah dari Allah. Allah beri pinjam semua.
Jom kita amalkan doa yang dibaca oleh Abu Bakr r.a. apabila mendapat pujian,
Ya Allah, Engkau lebih mengetahui keadaan diriku daripada diriku sendiri dan aku lebih mengetahui keadaan diriku daripada mereka yang memujiku.
Ya Allah, jadikanlah diriku lebih baik dari yang mereka sangkakan, ampunilah aku terhadap apa yang mereka tidak ketahui dariku, dan janganlah menyiksaku dengan perkataan mereka
(Diriwayatkan oleh Al Baihaqi)

0 Respon anda:

Catat Ulasan