TAK CUKUP MASA, MACAM MANA ?


Ada yang tanya, Cik Ayu bahagi masa macam mana.

Sempat berkebun, menulis lagi, baca buku lagi. Urusan anak dan rumah tangga lagi. Kadang ambil tempahan design.

Bagi aku kan, semua akan sampai pada waktu yang ditetapkan. Apa yang penting kita ada keinginan.

Semasa duduk di rumah teres, aku dah berimpian nak ada masa tanam itu ini. Cuba juga buat masa tu, tak dapat. Bermacam dugaan.

Bila dah tinggal dengan mak pula, aku pun rasa kali ini dah sampai peluang. Rupanya tidak juga. Sebab masih ada anak kecil. Di uji dengan eczema teruk pula. Memang tak boleh buat apa. Hadap dia saja.

Baca buku? Bertahun juga tak beli buku. Maka banyaklah buku dalam senarai yang nak aku dapatkan. Akhirnya bila ada bajet, buku anak juga yang aku beli. Buku aku? Nantilah.

Teringin nak ikut seminar, kelas menulis, kelas buat kuih, roti dan lain-lain. Tak sempat langsung. Tiada siapa boleh jaga anak aku pula.

Banyak dugaan bila nak buat apa yang kita nak.
Tapi bila dah sampai masanya, semuanya berlaku macam tu je. Macam tahun lepas, tahun 2020 tu.

Dalam tempoh PKP je banyak seminar dan bengkel dapat aku sertai walau kebanyakannya online. Tetap ada ilmunya. Dan semua kelas yang aku sertai memang berbaloi. Seronok sangat.

Tahun ini juga dapat beli beberapa buah buku untuk bacaan sendiri. Dapat juga masa menyambung penulisan yang tersimpan berbelas tahun lepas.

Paling tak sangka dapat berkebun. Kebun kecil je. Tak lah macam kebun sangat tapi sikit-sikit yang membahagiakan.

Macam mana susun masa ? Aku tak susun masa sangat masa tu. Semua jadi lancar sebab anak kecil dah umur 3 tahun. Dah semakin kurang clingy nya. Kalau tak, melekap aje, nak buat apa kan?

Jika yang menghentikan keinginan kita itu adalah tanggungjawab pada anak-anak dan keluarga, itu bukan halangan, bukan gangguan. Itu satu perjalanan. Tunggu je. Kita ikut keadaan kita. Tak perlu pun rasa, eh bestnya dia dapat buat itu, ini. Aku ni, ada je 'gangguan' bila nak buat.

Sebab tu hati tak senang, sebab kita rasa tanggungjawab itu gangguan. Kita sibuk melayan rasa hati mahu buat itu dan ini. Bukankah lebih baik, kita hargai amanah yang Allah beri, kita jalankan tanggungjawab dengan baik.

Ya, ada orang tu, ada juga anak kecil, boleh aje buat bermacam kerja satu masa. Kenapa kita tak boleh? Sebab…

1.Sebab pasangan kita tidak sama dengan pasangan dia. Tanggungjawab kita tak sama banyak dengan dia. Anak-anak kita juga tidak sama dengan anak-anak dia.

2.Dia ada suami yang sentiasa support, tolong buat kerja rumah, tidak ada masalah tolong jaga anak. Suami kita pula kerja sentiasa sibuk. Uursan rumahtangga tu memang kitalah yang uruskan.

3.Anak dia mungkin jenis mudah tidur mudah makan dan mudah semuanya. Allah bagi dia mudah. Kita pula Allah uji dengan anak yang sering tidak sihat, anak yang selalu tantrum, anak yang sukar diurus.

4.Dia mungkin tinggal sendiri dengan keluarga kecilnya di bandar di mana semua dekat. Pos laju, bank, sekolah semua dekat. Kita pula mungkin Pos laju kena ke bandar, bank pun jauh, bandar pun jauh. Ada orang tua juga selain anak yang perlu perhatian.

Eh, banyak lagi kalau nak disenaraikan.
Jadi jika kita ada keinginan, kita pahatkan dalam hati, kita selalu lah doa, Allah permudahkan semuanya untuk kita.

Jaga solat, jaga Allah.
Jaga tanggungjawab.
Usah anggap ia beban atau halangan untuk kita berjaya.

Macam mana kita nak bezakan tanggungjawab dengan gangguan? Kita kena senaraikan kepentingan. Orang putih kata Priority.

Kan sudah tahu, kita punya kepentingan tidak sama dengan orang lain. Mungkin lah ada lebih kurangnya, tetapi tetap ada beza.

Jadi, kita kena tulis. Nanti kita nampak yang mana kita kena letak atas dan yang mana boleh kita kompromikan.

0 Respon anda:

Catat Ulasan