Bisnes merudum, tapi nak hati kekal bahagia, mampukah ?

Macam mana kita nak kekal rasa bahagia dengan keadaan bisnes tak menentu, lebih lagi musim pandemic ni?




CA nak share cara nak rasa bahagia walau sale sangat tak memberangsangkan. Ini antara yang biasa CA buat semasa menghadapi dugaan dalam perniagaan.
Jom kita lalui semua ini bersama ♥
**************
𝟏. 𝐁𝐄𝐑𝐃𝐀𝐌𝐀𝐈 𝐃𝐄𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐓𝐀𝐊𝐃𝐈𝐑
Huish, susahkan nak berdamai dengan takdir bila ujian yang dihadirkan seakan tak nampak jalan damainya? Macam mana?
Pertama sekali, elakkan mengeluh, merungut.
"Macam manalah aku ni, bil belum bayar, dah nak masuk 3 bulan, yuran anak tadika belum bayar. barang tak jalan, nanti expired,"
-ha, tu merungutlah tu. Kat mulut, kat hati. Stop. Cukuplah merungut. Bila risau, ingat dalam hati,
"Ada tu nanti. Mesti ada. Sebab Allah ada." itulah ayat yang suami duk ulang bila aku mula sebut tentang kerisauan aku.
Kedua, yakinkan hati, saat begini pun ada bahagia. Iya.
Kalau tak kita sibuk pegang hp nak jawab prospek, nak closing, nak buat online class untuk agen, nak masukkan order. Sibuk packing, sibuk pergi pos. Anak-anak kurang rasa sentuhan. Suami asyik makan kat luar. Masak megi sendiri. Zikir lepas solat pun tak, mengaji pun skip. Contoh aje la ye.
Bila kurang aktiviti bisnes inilah waktu untuk kita lebihkan masa dengan Allah dan keluarga. Nanti kita tak sedar, dalam diam, kita dah berdamai dengan takdir.
𝟐. 𝐈𝐊𝐔𝐓 𝐅𝐈𝐓𝐑𝐀𝐇
Kita ini hamba. Fitrahnya hamba itu mengharap kepada perhatian tuannya. Tuan kita siapa? Allah. Jadi memang Allah lah selayaknya tempat kita berharap. Maka jangan sedih, kita masih ada tempat untuk berharap.
Fitrahnya kita ini dijadikan untuk meminta. Allah suruh minta. Maka berdoalah, berdoa dengan sangat rendah hati dan penuh berharap. Kita ini minta pada Allah yang mana kita tahu tak ada satu pun yang kita minta Allah tak mampu tunaikan.
Jadi, bila kita tahu kita ada tempat untuk berharap. kita akan rasa tenang. Maka mengharap dan berdoalah terus!
𝟑. 𝐓𝐈𝐃𝐀𝐊 𝐒𝐄𝐒𝐄𝐊𝐀𝐋𝐈 𝐁𝐄𝐑𝐏𝐔𝐓𝐔𝐒 𝐀𝐒𝐀 𝐃𝐄𝐍𝐆𝐀𝐍 𝐑𝐀𝐇𝐌𝐀𝐓 𝐀𝐋𝐋𝐀𝐇
Allah itu pemberi rahmat untuk kita masuk ke syurga-Nya. Jika kita berputus asa hanya kerana ujian dunia yang singkat ini, bererti kita sanggup melepaskan peluang untuk masuk syurga. Hoiihhh biar betul kau sanggup masuk neraka?
Maka janganlah kita mudah berputus asa. Berjaya atau tidak bisnes itu tidak jamin syurga. Tapi penerimaan kita atas ujian dari Allah dalam bisnes kita itu sangat penting untuk membawa kita ke laluan kita, syurga atau neraka.
Jadi jangan berputus asa dengan Rahmat Allah. Allah Maha pemberi Rahmat kepada hamba-Nya yang tetap memilih Dia walau diberi ujian dengan bentuk apa sekalipun.
𝟒. 𝐓𝐄𝐑𝐔𝐒𝐊𝐀𝐍 𝐌𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑𝐈
Bila kita memberi, tak kiralah, nasihat, bantuan, sokongan mahupun doa, segala pemberian kita itu akan balik kepada kita.
Contohnya, bila kita beri nasihat pada kawan kita, kita akan terasa , macam beri nasihat pada diri sendiri. Macam CA semasa menaipkan nota ini. CA seperti mengingatkan diri sendiri sebenarnya. Jadi, hati kita terpujuk tanpa sengaja.
Bila kita berikan bantuan dari segi wang ringgit atau barang keperluan, kita meringankan rasa hati kita yang terbeban melihat kesusahan orang lain. Bila kita ringakan kesusahan orang, Allah akan ringankan kesusahan kita juga, insya-Allah. Allah Maha Adil kawan.
Bila kita beri sokongan atau doa kepada seseorang yang sangat memerlukan sokongan, kita sebenarnya membebaskan rasa hati kita dari terkurung mengatakan aku ini tidak berguna. Aku nak buat apa pun tak boleh dah sekarang.
Sebenarnya kan, bila kita scroll FB, ternampak status sahabat yang beriklan, kita bagi like, sokongan dengan komen, dan doakan dia berjaya dapat jualan, malaikat nampak. Allah tahu.
Allah itu cintakan kebaikan. Insya-Allah, doa kita, sokongan kita itu akan berbalik kepada kita sendiri.
𝟓. 𝐀𝐘𝐀𝐓 𝟏𝟎𝟎𝟎 𝐃𝐈𝐍𝐀𝐑.
Tahukan ayat ni ? dari Surah Al-Talaq,
Nak bahagia, bukanlah dengan menghafal, tetapi MENGAMALKAN isinya.
Maksudnya: "Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
(Surah Al-Talaq : 2-3)
CA kongsikan ringkasan isinya ya :
❤️BERTAQWA KEPADA ALLAH DENGAN :
❤️LAKUKAN APA YANG DISURUH:
Contohnya, Solat, solat awal waktu, berbaik sangka dengan Allah, berbakti kepada ibu bapa, berbuat baik sesama manusia, tidak menzalimi pelanggan, jujur dalam timbangan dan lain-lain.
❤️TINGGALKAN YANG DILARANG
: contohnya, tidak solat, melambatkan solat, maksiat, menipu, ghibah, riba dan sebagainya.
❤️MAKA, Allah akan
- berikan jalan keluar dari apa permasalahan kita di dunia dan akhirat.
- berikan rezeki dari cara yang kita tidak sangka.
❤️SENTIASA RASA CUKUPLAH HANYA ALLAH tempat kita meminta pertolongan, bukan makhluk. (Bukan bos, bukan pelanggan, bukan gaji dan sebagainya)
❤️APA YANG ALLAH KEHENDAKI TETAP AKAN BERLAKU. Maka sekiranya kita tidak nampak lagi penyelesaian bagi perniagaan dan jualan kita yang merudum, tetaplah yakin ada hikmah disebaliknya.
Kawan CA yang CA sayang, waktu yang tidak sibuk inilah masa dan peluang kita menjaga semuanya. Kita muhasabah diri kita. Kita lihat apa kekurangan amalan kita, apa kesilapan yang kita belum betulkan, bertaubat atas setiap dosa kita.
Ruang waktu yang ada, usah disia-siakan.
Satu perkara CA nak pesan, jika diduga bisnes terhenti, itu bukan musibah. Carilah Allah, bicara dengan Allah, bertaqwa, taat dan tekadlah, bahawa cukuplah hanya Allah yang kita ada. Hasbunallah wani'mal wakeel.
𝟔. 𝐁𝐄𝐑𝐁𝐀𝐈𝐊𝐒𝐀𝐍𝐆𝐊𝐀 𝐊𝐄𝐏𝐀𝐃𝐀 𝐀𝐋𝐋𝐀𝐇
Tidak ada yang mencintai kita lebih dari Allah. Allah mencintai kita lebih dari kita mencintai diri kita sendiri. Tidak akan Allah memberikan keburukan kepada setiap hamba-Nya melainkan kebaikan sahaja.
Bila kita buruk sangka dengan orang, dengan takdir kita, sama saja seperti kita buruk sangka dengan Allah.
Bahagia itu bukan terletak pada wang, bonus, jualan tinggi atau untung besar. Ia terletak pada mata hati yang memandang.
Pandanglah semua perkara dengan kebaikan, dengan penuh hikmah. InsyaaAllah, jika tidak di dunia, di akhirat akan dapat ganjarannya.
****************
Begitulah cara CA didik hati untuk menerima segala ujian yang Allah beri, bukan saja dalam perniagaan, tetapi juga untuk kehidupan berumahtangga, berkeluarga, bermasayarakat dan berdakwah.
CA bukanlah terbaik. Hanya berusaha menjadi baik dan berkongsi perkara baik.
CA doakan semoga semua sahabat yang berniaga secara online ataupun offline akan tetap bersabar dan tenang walau dalam keadaan meruncing sekalipun.
Semoga Allah kurniakan ganjaran atas kesabaran kita insya-Allah.
Allah al-Musta'an
Berniagalah dengan Allah kerana keuntungan yang akan kita terima lebih berlipat kali ganda.

Cerita Interview pertama aku

 Hari tu, hari terakhir aku di kolej untuk semester itu. Semester depan adalah semester final. Tak ada kelas. Jadi aku nekad nak cari kerja.

Keluar dari kolej, aku singgah kedai alat tulis yang bertentangan dengan kolej aku tu. Memang aku suka masuk situ. Aku suka tengok notebook, marker, artline, kertas warna. Kadang tak membeli apa pun. Auntie dan Uncle tu pun dah biasa dengan aku.
Aku masuk hari tu, aku cuma nampak uncle tu sorang aje. Auntie yang selalu jaga kedai tu aku tak nampak.
"Uncle, itu auntie tak kerja ka?"
"Sudah berhenti lah."
"Owh, dia bukan u punya wife ka uncle?"
"Eh, bukanlah. Dia kerja saja. Tapi sudah tak berapa sihat. Saya pun susah lah."
"U tak mau cari orang kerja ka uncle?"
"Mau lah, tapi susahlah, u tau ka siapa mau kerja?"
"Tau lah."
"Siapa?"
"I lah. Hehehe."
"Haiyaaa. U mana boleh kerja sini."
"Alah uncle ni, kenapa tak boleh?"
"U belajar sana kolej kan? Mana saya boleh bayar gaji besar."
"Tak apa lah uncle, asalkan saya lepas bayar sewa rumah sama makan pun ok."
"Tapi tak boleh bayar besar maa. U mau ka?"
"Haiyaaa, saya kan, itu diploma pun belum dapat, berapa pun ok, u mau bayar berapa uncle?"
"Enam ratus, enam ratus lima puluh macam lahh."
Haaaaa? Reaksi aku dalam hati. Banyak tuuuu. Sewa rumah baru RM60 sebulan. Duit sarahidup dari MARA pun dapat juga nanti. Ok confirm, on.
"Boleh uncle. itu pun banyak lah uncle. Saya punya rumah dekat tau, jalan kaki saja, tak payah keluar duit transport. Cukuplah makan."
"Eh, tapi u ok ka ini macam? Tak banyak ooo."
"Ok Uncle. Ok sangat. Saya mau. Saya mau."
"Eh, tapi macam mana u punya belajar?"
"Tak pe. next semester, i tak ada kelas la uncle. Hantar report saja."
"Ohh, itu macam kaa. ok lah. Bila u mau kerja ?"
"U kasi saya balik kampung satu minggu la uncle. Lepas tu saya masuk kerja."
Haa, begitulah cara aku interview uncle wong untuk minta kerja. Bukan dia interview aku tau. Haha.
Orangnya sangat ringkas. Mudah berurusan.
Hari pertama aku kerja, dia serahkan kunci pada aku. Dia tunjukkan semua yang aku patut tahu.
Dia ajar aku guna mesin fotokopi yang akhirnya jadi boifren aku tu.
Dia ajar aku guna binding machine.
Dia ajar aku laminate.
Dia ajar aku guna cashier machine.
Dia ajar aku kira duit untuk didepositkan ke bank. Berapa perlu tinggal di cashier, no akaun dan yang berkaitan.
Dia bagi tahu bank mana nak tukar duit syiling.
Selepas tiga hari, dia bagi aku Amanat.
"Shida, lepas ni u jaga terus lah oorrr, Saya datang pun satu minggu tiga empat kali saja. Sebenarnya, saya ada tiga kedai lagi mau jaga. Tapi satu kedai sana saya punya abang tolong jaga full time. Jadi lagi dua saya mau jaga, sana dua kedai besar. Sini tak ramai customer. tak pack, u boleh jaga sorang punya."
Terkejut juga aku dengar. Baru tiga hari dia dah percaya nak tinggal kedai ni kat aku ? Mungkin terpaksa lah kan memandangkan dia ada banyak cawangan kedai lagi.
Aku pun akur lah.
Semua nombor telefon penting dia bagi.
Hari yang cukup sebulan aku kerja, dia ada di kedai. Dia kirakan gaji aku dari cashier. Dia bagi pada aku.
"Bulan depan, kalau saya tak datang hujung bulan, u kira gaji u sendiri aarr."
Bulat mata aku. Uncle Wong ni biar betul. Tapi memang betul, dari gaji aku RM650.00 sampailah selepas lebih setahun bekerja dah jadi RM900.00, dia suruh aku kira sendiri aje.
Sebenarnya bukan saja dia percaya pada aku sepenuhnya, dia juga banyak kongsikan pengalaman dan ilmu bisnes yang dia tahu pada aku.
Setahun lebih aku kerja, aku nak berhenti, dia tak bagi, nak bagi tambah gaji.
"Sorry uncle, mak sudah panggil balik."
"Yalah, yalah," kata uncle.
Dia majikan pertama aku. Alhamdulillah, majikan pertama yang tidak memberi sejarah buruk. Aku sangat suka bekerja dengan dia.
Nanti ada masa, aku cerita lagi. Aku cuba recall semula tips dan ilmu yang dia pernah kongsi dengan aku. Aku kongsi pulak dengan korang ye.
Sebelum ni dah pernah share cerita uncle Wong ni. Ada peminatnya dulu. Siap tanya aku jumpa dia lagi ke tak, haha. Mana tau ada cerita bersiri #UncleWong pulak, haha.
~rindu pula bermain dengan mesin fotokopi dan binder, rindu je, bukan nak buat lagi. Cukuplah hanya rindu, haha.
Sekadar kisah interview pertama. Korang punya cerita macam mana ?


- gambar sekadar hiasan.

Terima Kasih Suamiku...♥ - CERSAPEN (CERPEN SANGAT PENDEK)

 

Di suatu sudut di dalam sebuah rumah, di tengah malam yang hening, sesusuk tubuh lelaki bergelar suami menggigil menahan tangis....Dalam esakkan yang menyekat-nyekat nafasnya, kedengaran lelaki ini merintih kepada TUHANnya....


'Ya Allah Ya Tuhanku, Aku memohon ampun  dari MU ya Allah..... Aku hambaMU yang gagal Ya Allah... Setelah kau anugerahkan wanita secantik dan sebaik isteriku, aku gagal melindunginya dari bisa duniawi .... Kau bimbinglah aku dalam mengurusi rumahtangga ini ya Allah.... Aku lelaki namun aku lemah... aku malu kepadaMU ya Allah....Aku pohon kau bimbinglah aku ya Allah........'

Rintihan itu menyebabkan isteri yang tidurnya belum nyenyak terus tersedar... dan terbangun..... mendapatkan suaminya yang semakin hilang dalam luahan hati kepada PENCIPTAnya....Dalam esakkan dan rintihan kesedihan itu, dengan linangan airmata yang membasah, dia merangkul isterinya yang terkaku melihat keadaannya.

"Abang... kenapa ni? Ada apa-apa yang sayang tak tahu ke?"

Si suami mengucup dahi isteri, kucupan yang mendalam, seakan kucupan terakhir.

"Abang... jangan buat sayang macam ni... ceritalah kenapa...."

Si suami melipat sejadahnya, membetulkan duduknya, berhadapan dengan isteri tersayang, dan menggenggam tangan si isteri dengan penuh rasa sayang.

"Sayang..... Abang minta maaf.... Abang tak mampu menjadi suami yang baik... Tak mampu beri sayang apa yang sepatutnya sayang dapat..."

"Kenapa Abang cakap macam tu? Abang terlalu baik buat sayang.... terlalu baik... abang tak perlu bagi sayang apa-apa. Semua sayang dah ada, sayang cuma mahu kasih sayang abang, dan abang dah bagi, itu dah cukup bang..."

"Belum cukup sayang... Abang berdosa ... banyak dosa abang...."

Genggaman erat itu dilepaskan.......Isteri agak terkejut....

Si suami merenung mata isteri......Isteri yang disayangi di dunia dan moga-moga hingga ke akhirat..........

Tangannya membelai-belai rambut ikal isterinya yang panjang melebat hingga ke pinggang...Dia menangis lagi......

"Abang tidak sanggup membayangkan rambut yang sangat cantik ini hangus terbakar berkali-kali....Abang tak kan mampu membayangkan kalau awak menanggung sakit...."

Dipandang isterinya dari hujung rambut hingga hujung kaki, sekali lagi linganan airmatanya jatuh.....

"Abang tidak mahu tubuh isteri abang ini derita tersiksa di mamah api...."

Disentuh bibir merah isterinya....

"Abang tidak mahu bibir ini hangus kerana terpaksa minum air yang menggelagak dan berbara...."

Merenung ke mata isterinya, dia mendekat dan memeluk isterinya....

"Sudah berkali-kali abang ingatkan sayang, lindungilah kurniaan Allah ini, lindungilah sebaiknya...Sayang isteri abang yang baik, walau pun merajuk, tapi tetap sediakan makanan untuk abang, walaupun marah-marah, tapi tetap tidur sekatil dengan abang......Biarlah kita romantis begini hingga ke syurga... Namun kita mungkin tidak dapat ke syurga bersama......"

Tangannya terus membelai si isteri yang mula teresak-esak........

"Mungkin abang akan melihat sayang dari jauh, ditemani bidadari syurga yang menawan dan terbaik buat abang.... Itu pun jika Allah tidak mengkelaskan abang sebagai lelaki dayus.... Jika abang tidak selamat, kita akan menghadapi hukuman kita masing-masing....bukan bersama-sama sayang, kita tidak lagi bersama....abang tidak mampu menolong sayang, begitu juga sayang, tidak mampu menolong abang, bila kita sudah di sana kelak.... Hanya perbuatan dan amalan kita di dunia ini sajalah yang boleh bantu kita....."

Tangisan si isteri semakin kuat.....

"Abang berdosa kerana tidak mampu tegas dengan sayang tentang aurat, tentang solat dan tentang iman. Abang hanya mapu berdoa sayang.... abang tidak mahu kita bergaduh tetapi abang tidak patut membiarkan perasaan ini menghalang abang dari memimpin sayang ke syurga bersama.... Jadilah ketua bidadari abang.... abang tidak kenal bidadari di syurga.... abang sekarang cuma kenal sayang... Sayang sanggup memilih abang yang tak punya harta berbanding keluarga sayang yang hidup bagai dalam istana, sayang  sanggup mengikut abang berpindah dan tinggal di rumah yang sederhana... sayang kata, itu semua kerana cinta....... Cinta yang tak pernah abang jangka akan abang punya..."

Dia mengesat airmata si isteri......dan menyambung lagi.........

"Sayang isteri yang baik..... Tidak pernah berkira tentang belanja rumah yang hanya sedikit dari poket abang, belanja anak-anak yang kebanyakannya diurus sayang..... Kerja dikilang yang memenatkan sehari suntuk, tak mampu nak tanding gaji awak sayang.. Tapi awak masih sanggup hidup bersama abang? Sayang,  walau awak baik sebegini, awak belum mampu menjadi isteri abang yang terbaik kerana masih gagal menegakkan solat diwaktu ketiadaan abang.... Gagal menjaga aurat bila keluar lalu mengundang banyak mata yang memandang......"

Tangisan isterinya masih lagi deras....

"Sayang tidak malu kah bersuamikan lelaki dayus ? Lelaki yang sanggup membiarkan isterinya berbuat dosa? Bila anak-anak kita belajar agama, belajar tentang solat dan aurat, tidak kelirukah mereka ? Sayang nak letak muka di mana kalau mereka bertanya "Kenapa mama tak tutup aurat ?"

"Sayang, tudung kecil yang sekali-sekala sayang pakai tu memang cantk, tapi ia tak menjalankan fungsi tudung yang sepatutnya.... Tudung sepatutnya menutup hingga ke bawah dada, Baju pula sepatutnya tidak nipis atau jarang, seluar yang ketat itu sama saja seperti sayang tidak memakainya...."

"Sayang, dirikanlah solat dengan ikhlas, abang bersyukur kerana sayang cintakan abang, tapi abang mahu sayang cintakan Allah dan Rasul lebih daripada cintakan abang.. Abang tiada hak nak duduk dibahagian teratas hati sayang.... Semua orang patutnya cintakan Allah sebelum yang lain-lain...."

Di peluk erat isteri yang tak mampu hentikan esak tangis.........Dalam rangkulan itu, si isteri membisikkan sesuatu...

"Abang... sayang minta ampun dan maaf," Tangan si suami di kucup berkali-kali. Basah wajahnya dengan airmata penyesalan....... "Abang ampunkan sayang ye?"

"Ye abang ampunkan... Abang tak pernah marah sayang pun... Abang redha semuanya... lepas ni kena minta Ampun dengan Allah tau...." Rambut si isteri diusap lembut.

"Terima kasih abang. Sayang janji mulai sekarang sayang akan ubah semua yang tak baik.. Sayang tak mahu tengok abang macam ni lagi.. Sayang akan dapatkan cinta Allah dan Rasul .... Dan selepas Allah dan Rasul, cinta abang saja yang ada untuk ruangan di hati ini. Esok, sayang nak pergi shopping.... nak beli baju labuh-labuh, tudung besar-besar.... nak beli telekung baru... nanti abang ajarkan sayang AlQuran ye.. banyak yang dah lupa...."

"Boleh.... tapi kalau abang tak ada.... pergilah cari tempat belajar yang baik.. di surau taman ini pun ada guru mengaji perempuan yang bagus...... Kalau abang tak mampu nak ajar ilmu fardhu ain, sayang wajib cari sendiri... faham tak?" Anggukan si isteri mula bertenaga.....

"Kalau macam tu, ahad ni sayang boleh pergi shopping....."

"Ala.. esok kan boleh... esok cuti umum kan........Abang temankan yer..."

"Dalam tempoh 3 hari mulai esok... abang nak kenakan perintah berkurung untuk sayang...." Sambil tersenyum nakal.....

"Hmmm... kenapa pulak?"

"Mulai esok, sayang kena mengaji ..... nak tak ?"

"Okaylah abang.... apa-apa saja perintahmu ku turuti...Sayang tak mo suami dayus.. Tak mo...!" Senyuman meleret walau pun airmata masih jatuh lagi di pipinya....

"Okay sekarang, sayang tidur yer....Tidur dalam pelukan abang ni.....Biar abang dodoi macam baby......"

Isteri memejamkan mata dalam senyuman yang basah dengan tangisan.....Tepukan lembut suami tercinta di lengannya membuatkan dia rasa aman.... dan tidur dalam senyuman.....

Bunyi lori yang lalu lalang selalu saja membuatkan si isteri terjaga di kala subuh.. Biasanya dia akan menarik selimutnya lagi, namun kali ini dia bingkas bangun dan membersihkan diri untuk solat subuh... selesai mandi dan berwudhu, dia mengejutkan suaminya, dengan rasa yang teruja kerana pertama kali berbuat begitu...

"Abang, sayang dah siap wudhuk ni, jom abang imamkan sayang...." Suami masih lena.... Di goyang lembut badan suaminya....

"Abang.... jomlah kita solat sama-sama...." Goyangan yang semakin kuat sikit pun tidak membangunkan si suami... Hatinya mula berdetak keras..

"Abang....." Di letakkan jari di bawah hidung suami.... Tiada nafas ! Dirasa denyutan nadi ditangannya..... Tak jumpa! Di letakkan telinga didada suaminya.. kenapa jantungnya tak berdegup...?

Ya Allah...! Kiranya sudah sampai waktunya bagi suamiku..... Aku redha.....!Setiap kata-kata suami malam tadi berlegar-legar di benaknya... Kata-kata si suami itu telah menguatkan hatinya.... Dalam tangisan pilu dia redha... Walaupun kesal memberatkan dadanya , kesal kerana terlalu banyak suami bersedih kerana dia..... namun dia tidak mampu lagi berbuat apa-apa... selain dari mengotakan janji yang telah dia lafazkan kepada suaminya...

Terngiang-ngiang....."Dalam tempoh 3 hari mulai esok... abang nak kenakan perintah berkurung untuk sayang.."

Airamatanya tak mampu lagi tertahankan....

Ya Allah ya Tuhanku, sesungguhnya suamiku teramat baik di dunia ini, Kau tempatkanlah dia di kalangan orang-orang yang kau redhai...Terima kasih suamiku.......

APAKAH MEMAAFKAN ITU MESTI MELUPAKAN ?




Hati ini pernah terguris, dalam sungguh lukanya, tak terperi sakitnya. Cuma tak mahu bercerita kepada orang mengapa dan siapa pelakunya.


Apa yang mahu dikongsi adalah CA telah maafkan dia. Walau sedahsyat apa pun perilaku dan perbuatannya, tiada lagi rasa marah ku padanya.

Melupakan ? Tidak mampu. CA tidak mampu memadamkan begitu saja memori luka itu. Namun, ya, dendam itu tiada. Marah tidak lagi tersisa. Sakit juga telah diubat masa.

Salahkah jika kita tidak mampu melupakan ?

Ingin CA kongsikan kisah Rasulullah dengan Pembunuh Saidina Hamzah.

Ramai yang tahu kisah itu kan ? Dimana Saidina Hamzah telah di bunuh di dalam sebuah peperangan menentang kaum musyrikin. Kenal siapa pembunuhnya ?

Wahsyi bin Harb al-Habsyi yang lebih dikenali dengan panggilan Abu Dasmah. Beliau sewaktu itu adalah seorang Hamba kepada Jubair bin Mut’im, salah seorang daripada pembesar Quraisy. Bapa saudaranya Tu’imah bin ‘Adi telah terbunuh di medan Badar oleh Saidina Hamzah bin Abdul Mutallib.

Pembunuhan bapa saudaranya mengundang marah kepada Jubair lalu bersumpah bahawa beliau pasti akan menebus balas atas kematian bapa saudaranya itu. Tidak lama sesudah itu, berlakulah peperangan Uhud di mana orang-orang Quraisy mempersiapkan angkatan yang lebih besar.

Ketika angkatan itu bersiap-siap untuk ke medan Uhud, pada saat itulah Jubair bin Mut’im melihat ke arahku lalu berkata

“tidak mahukah engkau menebus dirimu sehingga menjadi orang yang merdeka”.
Maka katanya, "siapakah yang dapat memerdekakan aku?
Lalu Jubair berkata “aku akan memerdekakan kamu”.

Wahsyi kemudiannya bertanya, bagaimanakah caranya.
Jubair lantas berkata “sekiranya engkau berjaya membunuh Hamzah bin Abdul Mutallib, bapa saudara Muhammad yang telah membunuh bapa saudaraku, maka engkau akan ku merdekakan”.

Wahsyi bercerita :

Ketika berlaku pertempuran hebat di medan Uhud, aku keluar dari khemah untuk mencari Hamzah di sana sini. Tidak lama sesudah itu, aku melihat Hamzah sedang menerkam ke arah musuh. Tidak ada seorang musuh pun yang lewat di hadapan Hamzah kecuali mereka tumbang.

Pada ketika itu, aku berembunyi di balik batu dan pohon kayu untuk mengambil peluang membunuhnya secara sembunyi-sembunyi. Tiba-tiba datang Sibaq bin Abdul ‘Uzza memanggil Hamzah untuk berentap dengannya. Maka berlakulah pertempuran antara Hamzah dan Sibaq.

Tidak lama selepas itu, Sibaq telah ditetak oleh Hamzah sehingga dia jatuh terseungkur. Pada saat itulah aku merasakan Hamzah sudah hampir dapat dicapai oleh lembingku. Maka aku mengambil lembingku lalu terus ku luncurkan lembing itu ke arah Hamzah.

Tepat lembing itu kena ke arah rusuknya sehingga tembus ke belakang. Hamzah pada ketika itu, cuba untuk melangkah beberapa langkah namun beliau rebah. Ku biarkan Hamzah sehingga tidak bergerak lagi lalu aku pergi kepadanya dan ku cabut lembing ku itu. Aku kemudian pulang ke khemah dan berehat kerana tujuanku bukanlah untuk berperang, tetapi hanya untuk membunuh Hamzah.

Maka Jubair telah menunaikan janjinya terhadapku. Aku telah berbahagia mengecapi nikmat kemerdekaan. Akan tetapi, urusan Muhammad semakin hari semakin membesar dan agamanya semakin kuat. Sehinggakan setiap hari, saat aku memikirkan urusan agama Muhammad, ia amat menakutkan aku kerana aku telah membunuh bapa saudaranya.

Ketika mana angkatan Muhammad membuka kota Makkah kepada Islam, ketika itu aku melarikan diri ke Thaif untuk mencari perlindungan di sana. Tidak lama selepas itu, orang-orang Thaif pula memeluk Islam.

Kemudian, aku pula berkira-kira ke manakah lagi untuk aku pergi melarikan diri daripada Muhammad.  Sehinggalah tiba-tiba seorang lelaki memberikan nasihat yang sangat baik kepadaku dengan kelunakkan suaranya.

Beliau berkata “Wahai Wahsyi, sesungguhnya Muhammad tidak akan membunuh sesiapapun yang memeluk agamanya dan bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah”.

Maka, tatkala aku mendengar kata-katanya itu, terdetik di hatiku untuk berjumpa Muhammad dan menyatakan hasratku untuk memeluk agamanya. Aku terus menuju ke Yathrib mencari Muhammad.

Ketika aku tiba di Yathrib dan mendapat berita Muhammad berada di masjid, langsung aku ingin bertemu dengannnya dalam keadaan takut dan bimbang. Aku terus mendapatkannya dan dalam keadaan aku berdiri itu, terus aku menlafazkan kalimah syahadah.

Lantas Rasulullah SAW mendongak ke arahk, brrpaling dan bertanya “Kamukah Wahsyi?”. Aku berkata”Ya”. Lalu Rasulullah SAW menyuruhku duduk dan meminta aku menceritakan bagaimana aku membunuh bapa saudaranya.

Selesai aku cerita, Rasulullah SAW lagi kuat berpaling dariku, Baginda kemudian menangis dan berpesan

“Jauhkanlah wajahmu daripadaku dan mulai hari ini, aku tidak dapat melihat wajahmu lagi”.

Sehingga itu, Wahsyi tidak menemui Rasulullah SAW kerana pesannya Rasulullah itu sehinggalah wafatnya Rasulullah SAW.

Saat pemerintahan bertukar kepada Saidina Abu Bakar, maka peperangan masih terus berlaku dan saat itu mereka memerangi golongan murtad antaranya kumpulan terbesar, kumpulan Musailamatul Kazzab.

Saat itulah aku berkata, inilah peluang untuk aku meraih semula kemuliaan di sisi Allah SWT dan janganlah peluang ini terlepas. Aku kemudian keluar bersama rombongan perang yang lain dan membawa lembing yang sama yang aku gunakan untuk membunuh Hamzah. Musailamatul Kazzab terbunuh di dalam peperangan itu dan semoga perbuatanku itu dapat menggembirakan Rasulullah SAW nanti.

Begitu cerita Wahsyi.

Semoga Allah Mengampuni dosa-dosanya dan dosa-dosa kita. Rasulullah sendiri tak mampu memandang wajah Wahsyi kerana mengenangkan bapa saudaranya yang dibunuh. Namun baginda tidak pernah berkata yang baginda tidak memaafkan Wahsyi.

Sesungguhnya, Allah yang Maha Mengetahui setiap satu yang terjadi. Bukan salah kita untuk tidak melupakan sesuatu yang melukai kita. Allah telah kurniakan kita RUANG INGATAN. Bukan mudah hendak lupakan begitu saja. kerana ia telah tersimpan di ruang itu. Perkara yang sangat menyentuh hati kita, adalah perkara yang sangat susah untuk kita lupa.

Namun, memaafkan itu merupakan benteng kepada sifat sombong dan takbur. Redha dengan takdir Allah, syukur diberi peluang menjadi lebih baik, dan jadikanlah pengalaman lalu itu sebagai penyebab untuk menjadi muslim yang lebih baik.

Sebagai wanita yang hatinya lembut dan lebih mudah tersentuh, tak salah andai kita tak dapat melupakan, asalkan kita tidak terhenti di tengah jalan. Teruskan perjalanan, yakinlah pada Tuhan. Allah tak pernah biarkan kita sendirian, selagi kita yakin dengan Allah dalam penuh kesabaran

Cik Ayu
~Mencari Penenang Jiwa~