Amalan untuk merasakan kecukupan



Mengeluh atas apa yang sedang berlaku bukanlah perkara yang baik untuk dibuat. Ia hanya merosakkan hati. Melemahkan jiwa.

Hiduplah dengan nama Tuhanmu di hati. Carilah Dia setiap masa dalam setiap nikmat dan ujian yang kau rasa.

Sakit diuji, perit dan pedih, derita jiwa.
Allah faham sahabat.

Lemah, longlai, hampir tidak mahu lagi melalui kebuntuan.
Allah tahu sahabat.

Walau jauh mana sekalipun kau rasa dirimu jatuh, tetaplah kekal memegang tali pegantungan itu kepada Allah.

Allah akan kembalikan kau ditempat yang sepatutnya.
Jangan hilang rasa bertuhan. Selalu lah kembali kepada Tuhan.
Selalulah merasa cukup hanya dengan Ada Allah dalam hati.
Jiwa pasti tenang. Itu janji-Nya.

Cukuplah Allah yang membantu, cukuplah Allah saja bagi kita untuk terus mengharungi hidup.

Namun rasa itu tidak boleh hadir sendiri. Selalulah amalkan doa ini agar Allah selalu beri kita rasa cukup.

Disebutkan di dalam Hadis Sahih :
Sesiapa yang membacanya pada waktu pagi dan petang sebanyak 7 kali, Allah mencukupkannya apa yang diperlukan dirinya daripada pekerjaan di dunia dan akhirat.

حَسۡبِىَ ٱللَّهُ لَآ إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ‌ۖ عَلَيۡهِ تَوَڪَّلۡتُ‌ۖ وَهُوَ رَبُّ ٱلۡعَرۡشِ ٱلۡعَظِيمِ (١٢٩)

"Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar."
(At-Taubah 9:129)

[Hadis riwayat Abu Daud]
Jom Amalkan.

Carilah perniagaan yang menguntungkan dunia dan akhirat



Bagi orang muslim, berniaga ini jangan letak sepenuh hati.

Hati perlu dipenuhi dengan cita-cita akhirat, bukan dunia.
Buat saja kerja dengan betul. Isi hati dengan taqwa.
Asalkan kita tahu, kita berniaga untuk apa.
Niat itu penentunya.
Berniaga juga tidak menjanjikan kaya di dunia.
Rezeki tak sama.
Ada orang berniaga jadi kaya raya, jadi jutawan, hartawan.
Ada orang sama saja dari mula berniaga sampai sekarang.
Ada orang asyik diuji dengan rugi, khianat dan tipu.
Apa pun, kita tidak boleh kata dia tak kaya sebab dia banyak dosa.
Cerita dosa orang bukan urusan kita.
Kecuali kita nampak dia berbuat dosa.
Di situlah amar maruf nahi mungkar kita.
Ada saja orang yang memang tak kaya, tapi rupaya, dia hanya ambil apa yang perlu saja. Selebihnya habis diberi kepada orang lain.
Ingat Abdurrahman Bin Auf?
Ramai kata nak jadi macam dia.
Tapi ramai lupa, dia tidak menikmati kekayaan di dunia.
Dia yakin dengan ganjarannya di syurga.
Semua kekayaannya dia infaq kepada agama.
Dia tidak meninggalkan dunia dalam keadaan harta melimpah.
Jadi jangan pandang orang bisnes tak jutawan ini sebelah mata. Mungkin ada rahsia dia yang kita tak tahu.
Apa pun, dalam berniaga, kita boleh belajar banyak perkara. Ia boleh mengajar kita :
1. Nilai kejujuran
2. Makna percaya
3. Nikmat gagal
4. Cabaran berjaya
5. Keberuntungan tawakal
6. Tali pergantungan sebenar
Tapi tidak semua orang nampak enam perkara itu. Malah kebanyakannya tidak dapat titik temu.
Itulah punca banyak kemunduran nilai hidup.
Bila gagal bisnes, dia akan kata 'nasib aku tak baik.'
Bila dikhianat, dia akan kata 'ramai penipu dan pedengki'.
Bila tak capai target, dia kata 'usaha aku tak cukup kuat.'
Maka dia akan berusaha lebih keras. Makin banyak masa habis mengejar cita-cita duniawi.
Semakin sedikit masa tinggal untuk urusan akhiratnya.
Tak sedar, jauhlah dia dari pengertian tawakal dan semakin mudahlah terlepas tali pergantungannya kepada Allah.
Sahabat bisnes,
Kita diberi rasa gagal, terkhianat, kecewa dan marah kepada makhluk adalah untuk membawa kita kembali semula kepada Allah.
Untuk kita sedar, bahawa makhluk tiada yang boleh memberi kebaikan melainkan dengan izin Allah.
Bebisneslah untuk ummah.
Bebisneslah dengan Allah.

3 perkara penting mesti ada dalam hati jika mahu berbisnes



Antara perkara yang aku belajar dalam bisnes masa kerja dengan uncle wong stationery dulu :

1. Bisnes mesti ikut kemampuan diri dulu. Jangan mulakan bisnes dengan benda yang tak ada pada tangan.
Mulakan dengan apa yang kita ada.
Kalau ada idea, mulakan dengan idea.
Kalau ada RM100, mulakan dengan RM50.00
Kalau ada tenaga, gunakan tenaga.
2. Bisnes bukan untuk kaya. Bisnes kena ada rasa suka terima cabaran. Cabaran dalam bisnes banyak. Cabaran paling orang susah nak terima adalah saat diuji dengan kerugian.
Bahagian ni, kalau orang tu objektif bisnes dia nak kaya, dia akan "Demotivated" dengan teruk sekali. Semangat hilang, kelam kabut sampai tak boleh fikir apa yang patut di buat. Akhirnya, kerugian semakin besar dan jatuh.
3.Bisnes bukan untuk "Show-off"
Orang bisnes tak semestinya sentiasa ada kereta mewah. Orang bisnes tak semestinya kena ada rumah banglo. Orang bisnes tak semstinya kena pakai barang branded.
Uncle Wong ni ada empat cawangan kedai stationery besar di Kuala Lumpur. Ada satu kedai tu, masa sekolah aku selalu pergi. Bila dah kerja dengan dia baru aku tahu kedai tu kedai dia. Memang best kedainya. Masa tu kedainya ada di Ampang Point.
Cuma aku tak pasti ada lagi tak kedai dia sekarang.
Okey, yang nak aku cerita, walau bisnes di bagus, berkembang, dapat sambutan dari tahun ke tahun, dia pergi ke mana-mana naik kenderaan awam sahaja gais! LRT, bas. Dia tidak ada kereta mewah walau dia sudah terlebih mampu.
Hampir dua puluh tahun dah aku tak jumpa uncle ni. Aku tak pasti apa kisah dia sekarang. Apa yang aku pasti, mengenali dia sangat beri kesan dalam hidup aku.
Nanti aku share lagi kisah bisnes ni. Banyak sangat nak aku kongsikan.

Kenapa kena bisnes online?

 



Tahun lepas, saya dah tak mahu buat bisnes online lagi sebenarnya. Rasa penat. Ada sebabnya, tapi saya tak mahu cerita. Saya hanya tenang-tenang.


Saya kata pada suami, tak nak dah jual apa-apa lagi. Nak menulis, nak berkongsi sesuatu yang baik saja untuk kawan-kawan. Suami pun okey saja.

Lepas tu PKP pertama pun bermula. Anak mula lah berkumpul di rumah berbulan-bulan. Mula-mula okey, seronok! Tak penat nak ulang alik.

Lepas tu mula lah rasa resah dalam diri. Tak buat apa tu buat saya rasa resah.

Suami tak bekerja sepanjang PKP tahun 2020 sehingga lah December kerana tidak boleh. Kerja dia freelance driver untuk Van VIP. Tiada yang boleh travel, nak drive ke mana?

Bisnes Part time yang dia buat, menjadi agen untuk sebuah Telco Provider dapatlah juga membantu serba sedikit.

Heboh group Masak Tak Jadi tu, banyak resepi saya nak cuba tapi, bahan terhad. Saya cuba berjimat dengan apa yang ada.

Ada beberapa job design masuk. Adalah sedikit duit tambahan.

Sebenarnya, sejak saya berkahwin, saya dan suami tak pernah bergaduh tentang duit. Jika ada lebih suami akan cukupkan keperluan. Jika kurang, saya pun tidak akan meminta-minta. Cuba memahami keadaan, dan cuba lah buat apa yang boleh selagi suami dan anak-anak okey.

Waktu kami "ada", suami tak pernah pun kedekut. Jadi memang kami tak pernah bergaduh hal duit, hal rezeki. Semua Allah atur, itulah yang kami percaya. Hatta dalam poket tinggal RM10 pun kami masih letak kepercayaan kepada Allah yang mengaturkan segalanya.

Sebenarnya, terlalu banyak kekuasaan Allah tunjukkan kepada kami yang tak mampu saya nak ceritakan.

Hidup ini ibaratnya kita berada di atas bara api yang penghujungnya ada sungai yang sejuk. Berjalan diatasnya tidak boleh gopoh dan tidak boleh tanpa strategi juga tidak boleh tinggalkan sabar. Semua mesti disatukan.

Entah mengapa saya digerakkan mengikut kursus penulisan dari dua penulis yang sangat tersohor iaitu Tuan Zamri Mohammad dan Bonda Nor.

Kemudian, ada satu perkara yang pernah mengganggu fikiran saya.
Kematian.

Berita kematian suami beberapa orang kenalan buat saya belajar. Ada juga dengar berita suami di duga strok secara tiba-tiba. Dari beberapa cerita yang saya lihat, dengar dan perhatikan, saya ada jawapan dari satu persoalan.

Saya perlu terus berbisnes online. Andai satu hari sesuatu terjadi dan saya perlu menjadi kekuatan dalam keluarga ini, saya tak boleh keluar bekerja makan gaji. Saya ada ramai anak yang perlu di uruskan transport. Yang masih kecil juga ada.

Saya perlu ada sesuatu yang saya buat untuk saya bersedia. Supaya saya boleh teruskan kehidupan tanpa ada rasa blur. Tak tahu nak buat apa.

Iya, saya yakin, dan berpegang kepada takdir Allah. Itulah saja yang mampu saya lakukan sebagai manusia. Membuat sesuatu yang saya tahu dan mampu kemudian berserah sepenuhnya kepada Allah.

Insurans? Kami tak pernah ada pendapatan tetap. Tak mahu lah ada bayaran bulanan yang kadang buat kami tertekan.

Perlindungan kami hanya minta dari Allah. Cukuplah Allah buat kami.

Buat sahabat wanita, sementara dunia online masih lagi "hidup", manfaatkan dengan sebaiknya. Tak rugi bisnes online.

Yang penting carilah ilmunya.