Mintalah Hanya Pada Allah

 ‘Ya Allah, susu adik dah habis. Tapi mama masih tak ada duit masuk. Tiada order langsung. Macam mana ni dik,’ rintih suara hati Yana.

Dia merenung bekas susu yang kosong. Baru sahaja dia selesai membancuh bancuhan terakhir yang dia dapat dari isi bekas itu.
Suami masih belum balik. Semalam pergi memancing bersama teman setaman. Yana tak putus berdoa suaminya akan pulang membawa hasil tangkapan. Janganlah pulang tangan kosong.
Perginya kali ini tidak lah jauh, tetapi tidak guna bot besar. 'Semoga dia dan teman-temannya dilindungi,' doa tidak putus buat suami sejak semalam.
Yana menyuakan botol susu yang masih suam kepada si kecil dan membaringkan si kecil di sofa. Yana kemudian masuk ke bilik dan mengambil tabungnya. Baru saja dia berusaha penuhkan tabung itu sebulan dua ini. Sedikit-sedikit.
Dia kira jumlahnya. Satu persatu syiling di susun. Ada beberapa helai duit kertas RM1.
‘Oh, semuanya ada RM30! Alhamdulillah, bolehlah aku beli sayur sekali.’ getus hati Yana lagi.
Dia yakin akan ada lagi rezeki buat anak-anaknya. Merengek dan membebel kepada suami bukan caranya. Sebolehnya Yana tak mahu bebankan fikiran Razak dengan hal-hal begitu. Yana tahu Razak bukanlah lelaki yang melepaskan tanggunjawab begitu saja.
Ini waktu Razak diuji. Sebagai isteri, dia perlu taat dan setia supaya suaminya tidak masuk ke lorong yang gelap. Mereka nekad menjaga perut anak semua dengan rezeki yang halal dan tanpa was-was. Allah saja yang akan membantu dan menolong mereka dalam keadaan apa pun.
Siap sahaja si kecil menghabiskan susu tadi, dia mengendong anaknya itu dan capai kunci kancilnya di pintu.
“Along! Mama nak pergi kedai kejap beli susu adik. Jaga adik-adiknya yang lain ya.” Si Along yang baru muncul dari bilik belakang mengangguk.
“Kunci pagar ni,”suruh Yana lagi.
Along hanya menurut arahan.
Di kedai, Yana terus mencapai susu untuk si kecil dan seikat sayur sawi. Dia teringat gula yang sudah hampir habis di rumah. Dicapainya satu paket. Sambil itu, otaknya ligat mengira bagai kalkulator.
Sewaktu membuat bayaran, Nyonya Lim hanya memerhatikan Yana menyusun duit syilingnya di kaunter.
“Sorry nyonya, saya mahu kasi habis ini syiling, beg sudah berat,” dalih Yana.
“Yalah, yalah,” begitu jawab nyonya. Seakan tidak percaya dengan kata Yana. Nyonya Lim bukannya tak kenal Yana. Kedai Nyonya Lim itu sudah menjadi tempat persinggahan harian Yana sejak pertama kali mereka duduk di kawasan itu.
Dari waktu Yana berbelanja dengan not RM50 setiap hari, sehinggalah kini, sering mebawa duit hancur. Not lima ringgit, not seringgit dan syiling sudah menjadi kebiasaan.
Jika dulu datang ke kedai menaiki Benz, kini hanya dengan kancil buruk. Nyonya Lim saksikan semua itu. Namun dia tidak pernah membuka mulut untuk ambil hal tentang Yana. Itulah antara sebab mengapa Yana sering berbelanja di kedai Nyonya Lim.
Jika ke kedai Haji Salim, segala soalan akan di tanya. Rimas.
Selesai membayar, baki yang tinggal hanya tiga puluh sen. Yana tersenyum kelat. Dia sedikit mengeluh. Kemudian dia rasa tersentap sendiri.
‘Astagfirullah, ya Allah, ampunkan aku jika aku seperti mengeluh. Tabahkan aku ya Allah. Tingkatkanlah kesabaran aku.’ Bisik hatinya sambil melangkah ke kereta.
Malam itu, Yana masak sayur sawi yang dibeli tadi. Di gorengnya sawi itu dan di tambah dengan telur dadar sebagai hidangan tambahan. Berselera anak-anaknya makan.
Sedang makan bersama anak-anaknya, dia mendapat panggilan dari suami.
“Abang balik lambat. Bot rosak di tengah laut ni. Bateri telefon pun dah nak mati.” Panggilan dimatikan tanpa sempat dia bertanya apa-apa lagi.
Berderau darahnya. Jantung mula berdegup kencang. Seleranya putus. Tangannya berhenti menyuap. Allah!
'Lindungilah suamiku dan sahabatnya semua Ya Allah!'

Yana tidak mampu untuk habiskan baki nasi di dalam pinggannya. Namun dia paksa juga agar tidak menunjukkan contoh kurang baik kepada anak-anak. Terasa seperti menelan batu. Payah.
Selesai makan Yana terus ke depan. Mengemas, membasuh pinggan mangkuk semua Along yang selesaikan bersama Angah. Yana sudah hilang rasa. Fikirannya serba tak kena.
Yana duduk menghadap timbunan baju dan mulutnya tidak henti mengucapkan Hasbiallah Wani’mal wakeel, fa Ni’mal Maula Wani’mannanasiir. Jantungnya sentiasa berdebar-debar. Semakin lama semakin kencang. Fikiran buruk cuba hadir di minda namun segera dia beristighfar dan menepis.
Sesekali dia menyeka airmata. Risau. Apa agaknya yang dihadapi si suami di tengah lautan. Elokkah cuaca? Ombak kuat atau tidak? Berapa jauh dia dari daratan? Di waktu gelap begini, apakah situasinya di sana ya Allah!
Ah! Makin difikir makin mencengkam jiwa. Runsing tak kurang juga.
“Mama kenapa, dari tadi nampak sedih je. Makan pun sikit.” Suara Along mengejutkan Yana.
Along menghampiri Yana dan duduk di sebelahnya. Tangan Along pantas mengambil sehelai baju dan dilipatnya.
“Tak ada apa. Along tak de homework ke?” Yana cuba mengalih tajuk cerita.
“Along kan tengah ujian, mana ada homework ma.”Balas along sambil tangannya masih pantas melipat baju.
“Angah mana ni?” soal Yana pula.
“Gosok baju. Esok pakai baju kurung.” Jawab Along laju.
Yana mengangguk. Si kecil Icha khayal bermain dengan beberapa helai baju di hadapannya. Yana cukup syukur sebenarnya kerana dua orang anaknya itu sudah banyak sangat membantunya dari segi kerja rumah. Pada usia 12 dan 11 tahun, mereka sangat berdikari dan tangkas membantu di rumah.
“Abang Adam mana?” Yana seolah baru teringat satu-satunya anak lelaki dia dan suami.
“Dah tidur. Lepas makan terus lena. Letih sangat tengok muka dia tadi.” Kata Along lagi sambil matanya menjeling ke arah bilik belakang.
“Tak pe lah. Dia dah makan. Dah lah, Along tidurlah. Dah pukul berapa ni.” Ujar Yana bila dia menyedari jam sudah hampir ke pukul 10.30 malam.
Along bangun dan menuju ke bilik selepas meninggalkan pandangan penuh tanda tanya kepada Yana.
Sebenarnya, dia berusaha menyembunyikan resah hati yang dari tadi semakin sarat. Dia tidak mahu anak-anak tahu kerisauan yang ada dalam fikirannya. Padahal jantungnya seakan mahu meletup. Panas di kepalanya seakan ingin meletuskan lahar. Teramat risau!
‘Bagaimana agaknya keadaan suami aku,’ ayat itu berulang-ulang dalam fikiran. Mulutnya terkumat-kamit melafaz zikir Hasbiallah Wani’mal Wakeel, fa ni’mal maula wanni’mannasiir.
Icha sudah mula merengek. Pasti sudah mengantuk. Yana menghentikan kerja melipat kain baju. Dia membawa Icha ke bilik dan menidurkan Icha sambil bibirnya masih mengulang zikir yang sama.
Jauh di sudut hatinya, dia hanya memohon Allah pelihara suaminya, berikan pertolongan di saat tiada lagi pertolongan yang boleh diperolehi selain dari Allah. Sambil membayangkan bot suami yang teroleng-oleng di tengah laut, tanpa boleh menghubungi sesiapa, hatinya merintih.
‘Allah, sesungguhnya aku berserah hanya pada-Mu!’
Tanpa sengaja Yana terlelap. Dia terjaga bila terdengar suara orang memberi salam. Bergegas Yana bangun dan membuka pintu.
“Ya Allah! Alhamdulillah!” hanya itu yang mampu dilafazkan Yana bila yang berdiri di depan pagar rumah itu adalah suaminya.
‘Allah dengar doa aku! Allah tolong suami aku!’ bisik hati Yana sambil bersegera membuka pagar dan terus memeluk suaminya.
“Eh, abang kotor ni. Bagi lah abang masuk dulu. Tu ada orang tu.” ujar suaminya, Razak. Yana tersipu malu bila terlihat ada dua lelaki sedang memunggah ikan dari belakang Hilux milik Faizal, teman Razak.
“Macam mana abang boleh sampai cepat? Tadi abang call masih di tengah laut?” tanya Yana tanpa menghiraukan kawan-kawan Razak yang memerhati.
“Tak lama lepas abang call Yana tu. Ada satu bot datang dekat. Botnya besar lah dari bot kami. Jadi, mereka tolong lah kami. Abang pun tak pasti macam mana boleh diorang ke situ. Padahal jauh juga kedudukan bot diorang tu dengan bot kami.” Jelas Razak sambil memunggah barang-barangnya keluar dari Hilux.
Yana yakin itulah pertolongan Allah. Memang tiada pertolongan lain buat kita hamba-Nya melainkan dari Allah.
Bulat mata Yana melihat hasil tangkapan yang ada. “Banyaknya bang !” katanya sedikit terjerit.
Razak tersenyum lebar. “Alhamdulillah. Nak bawak balik ni lah Allah uji tadi. Rezeki ni yang,” kata Razak dengan wajah penuh syukur.
“Semua ni bahagian abang ke?” tanya Yana lagi seperti tidak percaya melihat longgokan ikan itu.
“Iya lah. Dia orang punya ada lagi tu, banyak dalam tong tu.”kata Razak lagi.
‘Syukur ya Allah. Berhari-hari lah aku boleh rehat dari fikir nak masak apa. Tak perlu fikir nak beli lauk apa,’ getus hati Yana sambil mengulum senyuman.
Saat itu juga Whatsappnya berbunyi.
“Kak, saya dah masukkan duit ya. RM100. Nak order kuih yang saya cakap hari tu. Esok saya mesej detail.” – begitu mesej dari Farah.
‘Allahu Akbar! Alhamdulillah ya Allah!’ jerit suara hati Yana.
Yana hanya mampu mengucapkan alhamdulillah berkali-kali sehingga pipinya basah dengan air hangat yang mengalir.
Benar. Cukuplah Allah sebagai Penolong buat kami, dan Allah adalah sebaik-baik pelindung.
.
.
.
Kisah ini adalah kisah benar. Ia menunjukkan betapa Allah tak pernah tinggalkan hamba-Nya yang sabar dan tawakkal.
Allahu al-Musta’an. Allah itu Tuhan Yang Melimpah-limpah rahmatNya, yang dipohonkan pertolonganNya.
T.A.M.A.T

0 Respon anda:

Catat Ulasan