Mintalah Hanya Pada Allah

 ‘Ya Allah, susu adik dah habis. Tapi mama masih tak ada duit masuk. Tiada order langsung. Macam mana ni dik,’ rintih suara hati Yana.

Dia merenung bekas susu yang kosong. Baru sahaja dia selesai membancuh bancuhan terakhir yang dia dapat dari isi bekas itu.
Suami masih belum balik. Semalam pergi memancing bersama teman setaman. Yana tak putus berdoa suaminya akan pulang membawa hasil tangkapan. Janganlah pulang tangan kosong.
Perginya kali ini tidak lah jauh, tetapi tidak guna bot besar. 'Semoga dia dan teman-temannya dilindungi,' doa tidak putus buat suami sejak semalam.
Yana menyuakan botol susu yang masih suam kepada si kecil dan membaringkan si kecil di sofa. Yana kemudian masuk ke bilik dan mengambil tabungnya. Baru saja dia berusaha penuhkan tabung itu sebulan dua ini. Sedikit-sedikit.
Dia kira jumlahnya. Satu persatu syiling di susun. Ada beberapa helai duit kertas RM1.
‘Oh, semuanya ada RM30! Alhamdulillah, bolehlah aku beli sayur sekali.’ getus hati Yana lagi.
Dia yakin akan ada lagi rezeki buat anak-anaknya. Merengek dan membebel kepada suami bukan caranya. Sebolehnya Yana tak mahu bebankan fikiran Razak dengan hal-hal begitu. Yana tahu Razak bukanlah lelaki yang melepaskan tanggunjawab begitu saja.
Ini waktu Razak diuji. Sebagai isteri, dia perlu taat dan setia supaya suaminya tidak masuk ke lorong yang gelap. Mereka nekad menjaga perut anak semua dengan rezeki yang halal dan tanpa was-was. Allah saja yang akan membantu dan menolong mereka dalam keadaan apa pun.
Siap sahaja si kecil menghabiskan susu tadi, dia mengendong anaknya itu dan capai kunci kancilnya di pintu.
“Along! Mama nak pergi kedai kejap beli susu adik. Jaga adik-adiknya yang lain ya.” Si Along yang baru muncul dari bilik belakang mengangguk.
“Kunci pagar ni,”suruh Yana lagi.
Along hanya menurut arahan.
Di kedai, Yana terus mencapai susu untuk si kecil dan seikat sayur sawi. Dia teringat gula yang sudah hampir habis di rumah. Dicapainya satu paket. Sambil itu, otaknya ligat mengira bagai kalkulator.
Sewaktu membuat bayaran, Nyonya Lim hanya memerhatikan Yana menyusun duit syilingnya di kaunter.
“Sorry nyonya, saya mahu kasi habis ini syiling, beg sudah berat,” dalih Yana.
“Yalah, yalah,” begitu jawab nyonya. Seakan tidak percaya dengan kata Yana. Nyonya Lim bukannya tak kenal Yana. Kedai Nyonya Lim itu sudah menjadi tempat persinggahan harian Yana sejak pertama kali mereka duduk di kawasan itu.
Dari waktu Yana berbelanja dengan not RM50 setiap hari, sehinggalah kini, sering mebawa duit hancur. Not lima ringgit, not seringgit dan syiling sudah menjadi kebiasaan.
Jika dulu datang ke kedai menaiki Benz, kini hanya dengan kancil buruk. Nyonya Lim saksikan semua itu. Namun dia tidak pernah membuka mulut untuk ambil hal tentang Yana. Itulah antara sebab mengapa Yana sering berbelanja di kedai Nyonya Lim.
Jika ke kedai Haji Salim, segala soalan akan di tanya. Rimas.
Selesai membayar, baki yang tinggal hanya tiga puluh sen. Yana tersenyum kelat. Dia sedikit mengeluh. Kemudian dia rasa tersentap sendiri.
‘Astagfirullah, ya Allah, ampunkan aku jika aku seperti mengeluh. Tabahkan aku ya Allah. Tingkatkanlah kesabaran aku.’ Bisik hatinya sambil melangkah ke kereta.
Malam itu, Yana masak sayur sawi yang dibeli tadi. Di gorengnya sawi itu dan di tambah dengan telur dadar sebagai hidangan tambahan. Berselera anak-anaknya makan.
Sedang makan bersama anak-anaknya, dia mendapat panggilan dari suami.
“Abang balik lambat. Bot rosak di tengah laut ni. Bateri telefon pun dah nak mati.” Panggilan dimatikan tanpa sempat dia bertanya apa-apa lagi.
Berderau darahnya. Jantung mula berdegup kencang. Seleranya putus. Tangannya berhenti menyuap. Allah!
'Lindungilah suamiku dan sahabatnya semua Ya Allah!'

Yana tidak mampu untuk habiskan baki nasi di dalam pinggannya. Namun dia paksa juga agar tidak menunjukkan contoh kurang baik kepada anak-anak. Terasa seperti menelan batu. Payah.
Selesai makan Yana terus ke depan. Mengemas, membasuh pinggan mangkuk semua Along yang selesaikan bersama Angah. Yana sudah hilang rasa. Fikirannya serba tak kena.
Yana duduk menghadap timbunan baju dan mulutnya tidak henti mengucapkan Hasbiallah Wani’mal wakeel, fa Ni’mal Maula Wani’mannanasiir. Jantungnya sentiasa berdebar-debar. Semakin lama semakin kencang. Fikiran buruk cuba hadir di minda namun segera dia beristighfar dan menepis.
Sesekali dia menyeka airmata. Risau. Apa agaknya yang dihadapi si suami di tengah lautan. Elokkah cuaca? Ombak kuat atau tidak? Berapa jauh dia dari daratan? Di waktu gelap begini, apakah situasinya di sana ya Allah!
Ah! Makin difikir makin mencengkam jiwa. Runsing tak kurang juga.
“Mama kenapa, dari tadi nampak sedih je. Makan pun sikit.” Suara Along mengejutkan Yana.
Along menghampiri Yana dan duduk di sebelahnya. Tangan Along pantas mengambil sehelai baju dan dilipatnya.
“Tak ada apa. Along tak de homework ke?” Yana cuba mengalih tajuk cerita.
“Along kan tengah ujian, mana ada homework ma.”Balas along sambil tangannya masih pantas melipat baju.
“Angah mana ni?” soal Yana pula.
“Gosok baju. Esok pakai baju kurung.” Jawab Along laju.
Yana mengangguk. Si kecil Icha khayal bermain dengan beberapa helai baju di hadapannya. Yana cukup syukur sebenarnya kerana dua orang anaknya itu sudah banyak sangat membantunya dari segi kerja rumah. Pada usia 12 dan 11 tahun, mereka sangat berdikari dan tangkas membantu di rumah.
“Abang Adam mana?” Yana seolah baru teringat satu-satunya anak lelaki dia dan suami.
“Dah tidur. Lepas makan terus lena. Letih sangat tengok muka dia tadi.” Kata Along lagi sambil matanya menjeling ke arah bilik belakang.
“Tak pe lah. Dia dah makan. Dah lah, Along tidurlah. Dah pukul berapa ni.” Ujar Yana bila dia menyedari jam sudah hampir ke pukul 10.30 malam.
Along bangun dan menuju ke bilik selepas meninggalkan pandangan penuh tanda tanya kepada Yana.
Sebenarnya, dia berusaha menyembunyikan resah hati yang dari tadi semakin sarat. Dia tidak mahu anak-anak tahu kerisauan yang ada dalam fikirannya. Padahal jantungnya seakan mahu meletup. Panas di kepalanya seakan ingin meletuskan lahar. Teramat risau!
‘Bagaimana agaknya keadaan suami aku,’ ayat itu berulang-ulang dalam fikiran. Mulutnya terkumat-kamit melafaz zikir Hasbiallah Wani’mal Wakeel, fa ni’mal maula wanni’mannasiir.
Icha sudah mula merengek. Pasti sudah mengantuk. Yana menghentikan kerja melipat kain baju. Dia membawa Icha ke bilik dan menidurkan Icha sambil bibirnya masih mengulang zikir yang sama.
Jauh di sudut hatinya, dia hanya memohon Allah pelihara suaminya, berikan pertolongan di saat tiada lagi pertolongan yang boleh diperolehi selain dari Allah. Sambil membayangkan bot suami yang teroleng-oleng di tengah laut, tanpa boleh menghubungi sesiapa, hatinya merintih.
‘Allah, sesungguhnya aku berserah hanya pada-Mu!’
Tanpa sengaja Yana terlelap. Dia terjaga bila terdengar suara orang memberi salam. Bergegas Yana bangun dan membuka pintu.
“Ya Allah! Alhamdulillah!” hanya itu yang mampu dilafazkan Yana bila yang berdiri di depan pagar rumah itu adalah suaminya.
‘Allah dengar doa aku! Allah tolong suami aku!’ bisik hati Yana sambil bersegera membuka pagar dan terus memeluk suaminya.
“Eh, abang kotor ni. Bagi lah abang masuk dulu. Tu ada orang tu.” ujar suaminya, Razak. Yana tersipu malu bila terlihat ada dua lelaki sedang memunggah ikan dari belakang Hilux milik Faizal, teman Razak.
“Macam mana abang boleh sampai cepat? Tadi abang call masih di tengah laut?” tanya Yana tanpa menghiraukan kawan-kawan Razak yang memerhati.
“Tak lama lepas abang call Yana tu. Ada satu bot datang dekat. Botnya besar lah dari bot kami. Jadi, mereka tolong lah kami. Abang pun tak pasti macam mana boleh diorang ke situ. Padahal jauh juga kedudukan bot diorang tu dengan bot kami.” Jelas Razak sambil memunggah barang-barangnya keluar dari Hilux.
Yana yakin itulah pertolongan Allah. Memang tiada pertolongan lain buat kita hamba-Nya melainkan dari Allah.
Bulat mata Yana melihat hasil tangkapan yang ada. “Banyaknya bang !” katanya sedikit terjerit.
Razak tersenyum lebar. “Alhamdulillah. Nak bawak balik ni lah Allah uji tadi. Rezeki ni yang,” kata Razak dengan wajah penuh syukur.
“Semua ni bahagian abang ke?” tanya Yana lagi seperti tidak percaya melihat longgokan ikan itu.
“Iya lah. Dia orang punya ada lagi tu, banyak dalam tong tu.”kata Razak lagi.
‘Syukur ya Allah. Berhari-hari lah aku boleh rehat dari fikir nak masak apa. Tak perlu fikir nak beli lauk apa,’ getus hati Yana sambil mengulum senyuman.
Saat itu juga Whatsappnya berbunyi.
“Kak, saya dah masukkan duit ya. RM100. Nak order kuih yang saya cakap hari tu. Esok saya mesej detail.” – begitu mesej dari Farah.
‘Allahu Akbar! Alhamdulillah ya Allah!’ jerit suara hati Yana.
Yana hanya mampu mengucapkan alhamdulillah berkali-kali sehingga pipinya basah dengan air hangat yang mengalir.
Benar. Cukuplah Allah sebagai Penolong buat kami, dan Allah adalah sebaik-baik pelindung.
.
.
.
Kisah ini adalah kisah benar. Ia menunjukkan betapa Allah tak pernah tinggalkan hamba-Nya yang sabar dan tawakkal.
Allahu al-Musta’an. Allah itu Tuhan Yang Melimpah-limpah rahmatNya, yang dipohonkan pertolonganNya.
T.A.M.A.T

Syurga Untuk Di Kongsi

 "Kau sorang je Mira ?" tanya si Lina dengan dahi berkerut.

"Ha ah, aku sorang." senyum.
"So ko pergi holiday ni nanti sorang la ye ? Ke kau tahu saiz adik beradik kau ?"
pelik pula soalan Lina ni.
"Aku dah biasa sorang. Aku suka sorang-sorang. Aku kerja sorang, buat apa nak bawa ramai-ramai ?" gitu jawapan aku.
“Eh, bos kan bagi kita bawa family, 5 kepala tau. Rugi lah kau tak bawa dia orang sama. Kan meriah ramai-ramai ?” panjang pulak cerita dia ni.
“Tak apa lah, bajet tu bos boleh carry forward untuk next year kot. Aku rasa tak payahlah bawak famili aku. Lainlah kalau aku dah kawin macam kau.”
“Peliklah kau ni Mira.”
Tak aku hiraukan langsung kepelikkan si Lina. Aku tak pelik pun dia nak bawa mak ayah, suami dan anak dia tu. Kenapa dia nak pelik pulak pasal aku ?
Aku yang berusaha jadi pandai. Dari kecil aku yang belajar tekun. Adik beradik aku semua jenis tak minat belajar. Biarlah dia orang.
Suka kot duk kampung, kerja kilang, yang jadi tukang bancuh air, yang jadi mekanik, paling dahsyat pun cikgu tadika.
Aku perah kepala bagai nak rak tiap hari nak impress boss, kan berbaloi dapat bonus macam ni.
Alhamdulillah syarikat telah memberikan bonus yang lumayan kepada kakitangannya. Aku dan 4 orang pegawai atasan yang lain telah diberikan 3 bulan bonus dan satu trip percutian bersama keluarga masing-masing ke luar negara.
Bos kata jualan meningkat dan dia mahu kami hilangkan stress berkerja dan pulang dengan penuh semangat untuk tahun seterusnya.
Siapa tak seronok kan. Bestnya! Kami dapat merasa salji kali ni. Masing-masing tak sabar sangat nak pergi. Teman sekerja mula lah merancang itu ini. Aku pun sibuk buat persiapan mencari pakaian dan keperluan untuk percutian tu.
Lina mengajak aku ikut sama dia dan keluarganya pergi ke sebuah pusat beli belah untuk mencari wintercoat. Memandangkan aku memang belum beli lagi wintercoat tu, aku pun setuju.
----------
Pendekkan cerita lah, kita orang pun selamat berlepas ke luar negara. Masing-masing seronok. Aku pun seronok juga.
Tapi satu hari tu, Lina demam teruk. Lepas sehari dia elok semula. Sekejap aje dah sihat.
Aku tengok pagi semalam tu, bukan main dia menggigil dalam selimut tebal, duduk depan pemanas. Esoknya dah boleh jalan dah.
Oh ya, kami duduk 3 sekeluarga dalam satu rumah. Satu rumah 2 keluarga, dan satu rumah lagi 3 keluarga.
Tup tup, aku pulak yang demam. Mak dan ayah Lina bukan main risau. Mereka kata aku tidur meracau-racau. Mak Lina buatkan bubur, ayah Lina belikan ubat. Lina pula sekejap-sekejap datang picitkan aku.
“Tak apalah Lina. Kau ada suami. Nanti suami kau cari pulak.”
“Eh tak apa. Suami aku faham.”
“Tapi korang ni baik sangat lah. Aku dah nak ok dah ni. Tak payah lah nak teman aku. Terima kasih banyak-banyak.”
“Tak apa. Aku dah terbiasa macam ni. Sebab tu aku semalam cepat sihat. Suami, mak, ayah anak, semua ada tolong jaga dan doakan kesembuhan aku. Aku picit sikit lagi, lepas tu kau tidur ya.”
Entah kenapa, sentuhan Lina buat aku terkenang sesuatu yang dah lama aku tak rasa. Aku rasa macam ada sesuatu yang baru hidup dalam hati aku ni. Hati aku yang dah lama keras seakan cair.
Sekian lama aku tak menangis, malam itu aku mengalirkan air mata. Dan tak semena, aku ucapkan sesuatu yang sekian lama aku tak sebut,
“Makkk, Akak rindu…” wajah tua dan tenang itu muncul di benak fikiran. Allah!
Esok, kami nak pulang ke Malaysia. Bagasi Lina dan lain-lain penuh dengan hadiah untuk keluarga, aku?
Penuh dengan barang-barang aku saja. Satu pun tak ada untuk keluarga aku. Tiba-tiba aku rasa aku jahat. Aku rasa aku dah jadi manusia yang sangat teruk.
Di lapangan terbang, boss datang menghampiri aku.
“Mira, awak dah ok ke?”
“Ok bos, dah tak demam.”
“Maksud saya, awak nampak macam fikirkan sesuatu. Ada yang tak kena ke ?”
“Bos, saya ok, jangan risau.”
“Awak nampak macam tak ok, sebab tu saya tanya. Kalau ok, baguslah, sekejap lagi kena masuk.”
Aku mengangguk. Sambil itu mataku melingas melihat sekeliling. Aku terpandang satu kedai menjual pakaian. Aku nekad belikan sesuatu untuk mereka – dikampung. Bergegas aku bangun tapi Lina pula menarik tangan aku.
“Jom Mira, last call tu.”
Aku serba salah dan tak ada pilihan selain ikut Lina. Sepanjang perjalanan, aku tak dapat tidur lena. Aku terfikir, kalau kapal terbang ni terhempas, aku tak dapat nak minta ampun dengan mak ayah aku. Aku banyak lupakan keluarga sejak berjawatan tinggi.
Hidup aku mewah. Tapi tu lah, hidup aku tak pernah meriah. Raya? Aku balik sekejap, bagi duit, tengah hari dah balik KL semula. Alasan aku, kerja banyak.
“Kerja tak pernah habis kak,” kata Mariam adik bongsu yang berkerja sebagai guru tadika.
“Kau apa tau kerja macam aku ni?” aku herdik Mariam.
“Memang kitaorang tak tau kak, kita orang tak pandai macam akak. Tapi, mak ayah ni dah tak berapa sihat, takkan lah akak tak rasa nak lama-lama kat kampung ni? Dulu pun akak duduk sini, asal sini kan,” betah adik lelaki ku, Musa si mekanik.
“Aku tak lupa dirilah Musa. Aku cuma malas nak duduk kampung lama-lama. Bukan boleh buat apa-apa yang berfaedah pun.”
“Murni tahu akak baik. Walau duduk di KL, akak tak campur dengan orang yang tak baik. Akak pandai jaga diri. Tapi akak jangan lupa, mak ayah lah yang paling banyak doa untuk perlindungan anak-anak. Sekarang diorang masih ada kak, kalau dah tak ada nanti, siapa lagi nak doakan kita kak?”
Tersentap hatiku bila kata-kata Murni itu terngiang-ngiang difikiran.
Aku pun tak faham kenapa aku mengasingkan diri dari keluarga sendiri. Padahal mereka tak pernah buang aku. Mereka sentiasa gembira bila aku balik. Mereka sentiasa raikan kepulangan aku walau aku tak suka.
Aku tidur sehari semalam pun cuma nak makan asam pedas masakan mak aku yang memang tak dapat di KL. Tiga empat kali aku makan, mengulang. Tapi masih lagi dengan sikap acuh tak acuh dengan mak dan ayah aku.
Satu malam tu, semasa aku di kampung, aku terasa ada orang mengendap aku yang sedang makan asam pedas emak entah untuk kali ke berapa.
Ku toleh, ayah rupanya. Ayah datang, dan menghulurkan aku segelas air putih.
“Syurga itu untuk dikongsi kak, tak ada orang duduk di syurga sendirian.” Kemudian ayah berlalu.
Aku tak ambil endah dengan kata-kata ayah pada waktu itu. Tapi hari ini semuanya kembali menujah ke dalam fikiranku.

-----------

“Mira, jom, dah sampai Malaysiaaa!” Suara Lina mengejutkan aku.
Kami keluar dari perut pesawat dan terasa nikmatnya udara hangat Malaysia setelah hampir 2 minggu bersejuk-sejuk di tempat orang.
Benarlah kan, bila dah pergi merantau jauh, barulah mampu nak rasa nikmatnya tempat sendiri. Tapi, kenapa aku susah sangat nak hargai keluarga aku setelah sekian lama aku hidup sendirian?
Rasa jauh dari mereka itu ada, tapi ia tak buat aku rasa hilang. Kenapa hati ini keras sekali?
“Mira, malam esok, ada kenduri kat rumah saya. Awak datang ya, mula solat jemaah maghrib sekali kat rumah saya.” Bos sempat mengajak semasa kami menuju ke pintu keluar KLIA.
Tanpa sedar aku bersetuju.
Tak pernah aku hadiri kenduri kendara sejak tinggal sendiri di KL. Bukan tak ada yang mengajak, tapi semua ajakan aku tolak dengan selamba.
“Alhamdulillah, selesai solat maghrib berjemaah. Imam kita akan berikan tazkirah pendek. Sila ambil tempat masing-masing supaya dapat dengar dan fahami pengisian tazkirah hari ini.” Ucapan ringkas dari tuan rumah, Boss aku.
Menarik juga penyampaian Ustaz ni. Aku tak terasa mengantuk pun dengar apa yang disampaikan. Selepas Tazkirah, kami berjemaah Solat isya kemudian di jamu dengan pelbagai jenis makanan yang sedap-sedap.
Malam itu, aku tak boleh tidur. Bagasi pulang dari bercuti semalam belum lagi berkemas. Aku terdengar-dengar kata-kata dari ustaz.
“Hidup kita ini tidak pernah berjaya dengan sendiri. Kita pandai berjalan, dengan bantuan Allah, kita boleh makan dan nikmati lazatnya makanan, dengan izin Allah. Kita mampu beli rumah, beli kereta mewah dengan kekayaan yang Allah bagi pinjam. Pinjam sahaja tuan-puan. Kerana bila kita pulang kepadaNya...” Ustaz terdiam sebentar, kemudian menyambung lagi.
“Segala harta benda akan kita tinggalkan kepada waris. Kamu suka atau tidak, kamu setuju atau tidak, kamu benci macam mana pun pada waris, harta yang ada tetap akan diserahkan menurut faraidh. Jika waris yang masih hidup tidak menguruskan mengikut perkiraan faraidh, maka mereka zalim pada kamu dan diri mereka sendiri.”
“Jika tuan puan ada ahli keluarga yang terpisah jauh, carilah. Sambungkan semula silaturrahim yang terputus. Jika tuan puan bergaduh dengan pakcik makcik, adik beradik, bermaaf-maafan lah. Jangan menjadi sombong dengan kepandaian, pangkat dan harta.”
“Tuan puan, saya nak tanya, andai tuan puan mati, tuan puan tak nak ke ahli keluarga sendiri yang uruskan? Tuan puan tak nak ke hanya ahli keluarga sendiri yang melihat aib, tak nak ke Allah lilndung aib tuan puan dari orang yang bukan keluarga?”
Semua kata-kata itu berulang-ulang di dalam fikiran aku.
Ya Allah, aku sombong selama ini. Ya Allah, aku lupa yang aku membesar bersama mereka yang aku hina. Aku bersyukur Kau tegur aku ya Allah!
“Berkat doa orang tua kita kakak berjaya kak. Tiap hari mak ayah doakan kita kak.”
Teringat lagi kata-kata dari Mariam. Terima kasih Ya Allah Kau kurniakan aku ahli keluarga yang tak pernah penat menegur dan mengingatkan. Terima kasih kerana menganugerahkan aku orang tua yang sentiasa berdoa ya Allah.
“Bulan lepas aku dah bagi seribu kan, tak cukup jugak ke ?”
“Bulan lepas kan betulkan bilik air dan atap bilik mak yang bocor tu kak. Sekarang ni, susu dan pampers mak dah tinggal sikit, dah nak abis. Yam lama lagi nak gaji. Kak Murni dan abang Musa dapat bagi sikit aje. Dia orang pun ada tanggungan kak, anak-anak diorang nak sekolah.”
“Kan, akhirnya cari aku jugak kan. Tu lah, dulu aku dah kata, belajar betul-betul. Korang tak dengar cakap aku kan ? Korang kata, tak kisah lah, tak minat lah. Aku dah kata, kalau malas, macam korang ni lah, harap kan duit dari orang macam aku.”
“Ikut akak lah nak kata apa. Akak jangan lupa, mak ayah tu pun masih tanggungjawab akak, bukan tanggungjawab kita orang aje.”
“Aku taulah. Dah lah, korang ni bukan nak mengaku pun yang korang tu pemalas. Nanti aku dah masukkan aku bagi taulah.”
Begitu perbualan antara aku dengan Mariam beberapa bulan lalu.
Betapa sombong dan bongkaknya aku. Langsung aku lupa siapa yang berusaha memberi pendidikan. Siapa yang berusaha bersusah payah menjual hasil kampung untuk mencukupkan keperluan aku di Universiti.
“Bos, saya nak sambung cuti lagi 2 hari bos, nak balik kampung, ziarah orang tua saya.”
“Alhamdulillah, awak ingat pada orang tua. Baliklah Mira.”
“Thanks bos.” Itu saja lah yang boleh aku ucapkan. Bos aku siap ucap Alhamdulillah bila dengar aku nak balik kampung.
Ye lah, selalunya bila dia offer aku cuti lebih, aku tak ambil pun. Dia suruh aku balik kampung, balik lama sikit jumpa keluarga, aku tolak tanpa rasa bersalah langsung.
“Mira. Awak ni saya tengok cukup bagus. Kerja awak bagus, awak rajin, awak tutup aurat, awak jaga solat, tapi kenapa awak susah sangat nak rapat dengan keluarga awak ye? Untung tau masih ada keluarga. Saya ni, dah lah anak tunggal, mak ayah pun dah tak ada.”
“Rezeki masing-masinglah bos. Saya malas lah balik kampung, nanti ada je yang saya nak kena selesaikan.”
“Awakkan anak sulung, betul? Memang kena tolong lah keluarga awak kalau ada apa-apa.”
“Hmm,” malas aku nak panjangkan lagi cerita. Tak ada siapa faham perasaan penat aku ni.
Sejak aku dapat gaji pertama aku dah bagi pada keluarga, sekarang dah hampir 12 tahun aku kerja, masih lagi diaorang harapkan aku. Mentang-mentanglah gaji aku besar. Penat lah, sampai bila macam tu?
Begitulah dalam fikiran aku selama ini. Penat. Penat aku kerja, gaji habis kat orang lain. Diri sendiri tak merasa seronok pun. Allahu! Macam manalah nak rasa seronok, jika setiap sen yang aku berikan pada mereka, semuanya aku kira, aku ungkit dan aku bangkit.
Sebelum zohor aku sampai. Alhamdulillah, ayah sihat. Mak macam itu jugalah, terbaring tanpa suara. Namun dapat ku lihat sinar gembira di matanya saat aku capai tangannya dan aku cium penuh sayang.
“Mak kau tu, rindu sangat dengan kau kak. Dia tak cakap pun, tapi ayah tau. Bila ayah tunjuk gambar kau, matanya berkaca aje.”
Ku genggam tangan mak.
“Mak, Mira minta tolong mak ampunkan Mira. Mira lupa diri. Padahal, dulu Mira cakap, Mira nak belajar pandai-pandai, nak kerja bagus-bagus, nak tolong keluarga. Tapi bila Mira rasa semua terbeban atas Mira, Mira mula penat dan rasa tak berbaloi. Mira lupa pada janji yang Mira buat. Mira jadi sombong mak. Ampunkan Mira mak….” Air mata laju membasahi pipi.
‘Allah akan uji dengan apa yang kita cakap Mira.’ Ucapan mak pada satu masa dulu muncul di memori ku.
Aku pandang mata mak. Kurasa genggaman mak makin kuat. Air mata mak juga mengalir deras.
“Mak maafkan Mira tu,” suara ayah dari belakang membuat aku lebih kuat menangis.
Ayah menghampiri dan duduk di sebelah hujung kaki mak. Ayah usap-usap kaki mak.
“Mira, sejak hari pertama kau lahir, mak selalu cakap dengan ayah, ‘bang, Allah bagi kita rasa sedikit nikmat syurga di dunia ni bang. Rasa cukup dan rasa bahagia ini, buat kita kongsikan bersama. Moga kita semua akan disatukan disyurga. Biar apa pun yang bakal jadi, semoga akhirnya kita akan bersama di syurga. Tak seronok rasanya jika sendirian, biarlah kita semua ada, syurga untuk dikongsi dan dinikmati bersama.’”
“Macam mana Mira nak ke syurga ayah, jika hati ibu bapa Mira, hati keluarga Mira, selalu Mira tak jaga,” ucap ku penuh kesal.
“Mulakan semula nak, dari sekarang, kita cari jalan untuk ke syurga, sama-sama. Kita mohon Allah dengar doa-doa kita. Kita mohon Allah rahmati kita semua. Syurga itu atas rahmatNya Mira. Nak dapat rahmat, perlu cari redhaNya.”
“Ayah, Mira minta ampun ayah, minta maaf segala perkataan Mira, perbuatan Mira pada Ayah. Mira bodoh, Mira lupa diri. Mira berlagak, sombong, bongkak. Mira lupa kasih sayang mak ayah lah yang buat Mira berjaya. Mira lupa segala usaha Mira takkan berhasil jika Allah tak redha. Mira lupa redha Allah itu dari redha ibu bapa.”
Kuat aku peluk lengan ayah. Esak tangis semakin menjadi-jadi.
“Ayah tahu, Mira penat. Ayah tahu kami selalu susahkan Mira. Ayah tahu Mira letih kerja. Sebab tu ayah tak pernah ambil hati dengan apa yang Mira cakap atau buat. Ayah maafkan Mira. Ayah hanya berdoa, berdoa setiap hari, supaya Allah kembalikan Mira ayah yang dulu. Yang sayang mak dan ayah, yang sayang adik-adik. Ayah rindu Mira….” Kata-kata ayah terhenti di situ. Basah sudah pipi ayah.
Ya Allah. Dulu, melihat mak dan ayah diam, sedih tidak bercakap, hati ini meronta marah,mencari punca siapa yang mengguris hati mereka.
Hari ini, aku, aku sendiri buat mereka menangis kerana sikap sombong dan tak bertimbang rasa aku. Mira! Kau banyak dosa Mira!
Aku peluk ayah erat. Ya Allah, rasa tenang, rasa damainya di dalam pelukan ayah. Rasa ini dah lama hilang dalam hidup aku. Maha Pemurahnya Allah, Kau pinjamkan lagi rasa itu padaku. Tak mahu aku lepaskan pellukan ini.
“Allah!” helaan nafas dan suara ayah di hujung telingaku.
Tiba-tiba badanku terdorong jatuk di tepi katil mak. Ayah rebah!
“Ayah! Ayah” ku cuba gegarkan badan ayah, ku goyangkan bahu ayah.
Ayah diam tak bergerak lagi. Ayah tak jawab lagi. Ayah tak bercakap lagi. Ku pandang wajah emak, merah matanya, air mata mengalir laju tanpa suara.
Akulah anak jahat yang buat orang tua aku merana. Aku punya harta tapi bawa aku ke mana?
Ya Allah, panjangkan usia emak, agar dapat aku tebus segala rasa sakit dan kesal ini. Biarlah emak begitu, terbaring pun aku sanggup. Biar setitis peluh pun akan ku rebut untuk mengelapnya.
Sebaik selesai urusan jenazah ayah, aku bertemu bos yang hadir tadi.
“Bos, terima kasih sebab sudi datang jauh-jauh macam ni. Saya ada perkara nak cakap.”
“Sama-sama Mira, apa dia, cakaplah.”
“Saya nak berhenti kerja bos. Nak jaga emak. Harap bos faham.”
Bos diam beberapa ketika.
“Saya faham. Tak apalah. Tanggungjawab awak pada emak awak lebih besar. Kalau perlukan bantuan, hubungi saya.”
“Terima kasih bos kerana memahami.”
“Tak apa, awak kerja berpasukan. Jadi ada orang lain yang boleh buat kerja awak juga kan. Ia tak lah menyusahkan syarikat. Jadi saya boleh terima.”
“Ok bos, nanti saya akan emailkan surat resign pada Bos untuk formaliti.”
“Ok Mira. Awak jaga diri ya. Saya balik dulu.”
Aku mengangguk dan memerhatikan bos meninggalkan perkarangan rumah kampung yang sangat muram itu.
“Kak!” suara Musa terjerit dari dalam rumah.
Aku menoleh dengan riak pelik.
“Cepat kak masuk!”
Segera aku berlari masuk ke rumah setelah mengecam ada yang tak kena.
“Mak dah..” tak sempat Musa habiskan kata-katanya segera aku berlari mendapatkan emak di bilik.
Ku lihat Murni dan Mariam sudah menangis di sebelah mak. Mata mak telah terpejam rapat. Tangan telah diqiamkan.
Ya Allah, aku redha. Aku redha dengan takdirmu. Namun hati ini seperti di tusuk duri. Sakit ya Allah! Aku telah rugi. Aku tak hargai semasa mereka masih di sisi. Aku rugi ya Allah!
“Kak, mak pesan, mak dah maafkan semua anak mak, mak tak ada dendam. Mak nak kita semua bertemu disyurga. Mak pesan lagi, jaga iman, jaga hati, ingat Allah sampai mati.”
Perlahan nada suara Musa sambil tangannya menggenggam tanganku.
Luluhnya hati ini, tak dapat ku ceritakan lagi. Ibarat pisau tumpul dibuat penoreh jantung ini.
Inilah kifarah buat ku. Sekian banyak dosa ku kumpul, tak semudah itu hendak dihapus.
Aku redha, atau lebih tepat lagi, aku baru belajar redha.
Semoga Allah satukan keluarga kita di syurga mak, ayah. Mak ayah contoh terbaik buat Mira. Mira akan ingat selalu, syurga itu untuk dikongsi. InsyaaAllah kita bertemu.
Itu pun jika Allah berikan RahmatNya buatku.
-T.A.M.A.T-