Pilihan yang baik, jangan ditangguh...♥

Sekali sekala tergoda juga hati melihat tudung yang cantik-cantik di laman muka buku. Setiap hari, pagi petang ada saja penjual-penjual tudung yang mempromosikan produk mereka. Saya fikir, "Kalau aku zaman dulu-dulu ni, mesti aku dah beli dah...."

Tapi hanya suka melihat corak tudung-tudung itu, itu saja. Bila membayangkan saya memakainya, hati rasa tak seronok. Tak mampu membayangkan diri bertudung cara itu lagi. Pilihan saya kini hanyalah yang satu warna dan yang berwarna gelap. Bagi saya ia sangat selesa dan mudah. Lebih-lebih lagi, kini mudah nak dapatkan tudung yang bermaterial tak perlu gosok dan siap ber"awning". Jadi, ia amat mudah bagi saya yang ulang alik keluar masuk rumah menghantar dan mengambil anak-anak ke sekolah.

Saya pernah melalui zaman di mana mementingkan penampilan. Walaupun gaya saya dulu bukan lah gaya yang seksi atau terlalu up-todate kata orang, namun saya selalu utamakan  warna dan corak baju yang menarik. Menarik bagi saya, menarik jugalah bagi orang lain. Saya juga suka mengenakan make-up nipis, yang walau pun tidak terlampau, tetapi tetap menarik perhatian lelaki.

Sewaktu saya di kolej dahulu, pernah saya berniat untuk menukar penampilan dari bertudung singkat dan bergaya, kepada tudung labuh ala-ala ustazah. Namun, niat saya itu terbantut kerana tidak ada seorang pun rakan sekeliling saya memberi sokongan ataupun dorongan. Saya mula-mula cuba juga tabahkan hati, namun, bila berada disekitar orang-orang yang tidak bersetuju dan kelihatan "tidak gembira" dengan perubahan yang saya ambil, saya terhenti setakat itu, 2 helai tudung yang telah siap dijahit kakak hanya terpakai 2-3 kali sahaja, dan kemudian tersimpan semula.

Dalam kegembiraan saya mengharungi "indah"nya remaja, hati ini masih menyimpan hasrat yang saya akan berubah juga satu hari nanti. Doa untuk terus tabah dan berusaha memperkukuh iman tak pernah putus dari hati saya. Setelah bertemu jodoh, dikurniakan zuriat, saya mula memperbaiki segala kelemahan saya sedikit demi sedikit.

Alhamdulillah.... syukur, masih saya sempat memperbaiki diri ini sebelum saya tiba ke hujung nyawa. Apa yang sekarang selalu terlintas difikiran saya, betapa syukurnya saya telah dapat menemukan apa yang saya cari selama ini. Selesanya bila kehidupan yang saya lalui seiring dengan hati. Ketenangan yang saya tak pernah temui di zaman "keseronokan" dulu, kini saya kecapi.

Sedarlah saya, walau tinggi manapun orang puji kita, walau banyak mana pun akuan kasih dan janji sayang manusia kepada kita, takkan mungkin sama dengan anugerah dan kuniaan Allah yang tak mampu saya hitung sejak berada di dalam rahim emak saya.

Sahabat sekalian, saya ini hanyalah seorang wanita yang punyai sejarah yang berbeza dengan keadaan saya kini. Namun saya mahu juga berkongsi pengalaman ini untuk membawa kita semua menyedari betapa hidup ini sebenarnya singkat, betapa ruginya kita menangguh perubahan ke arah kebaikan......

Penangguhan biasanya akan memberikan kesan tidak baik, dan penyesalan yang tidak sepatutnya berlaku. Bukannya satu keuntungan bagi kita mencari nikmat dunia, tetapi bila kita nekad mencari keuntungan akhirat, Allah telah berjanji yang kita tidak akan rugi.

Sesiapa yang telah terdetik dihati untuk berubah kepada yang lebih baik, ayuh! Jangan tunggu orang lain, jangan tunggu sokongan  atau dorongan lain, mintalah perlindungan dan bantuan Allah. Kita perlu tegas dengan diri sendiri.

Semoga jelas dihati kita semua apa yang kita mahu selama kita hidup di dunia ini. Mahu mengumpul harta dunia atau pun mengumpul amal, peneman di akhirat ?

Bertudung cantik untuk pujian rakan dan mata liar ataupun menutup aurat untuk mendapat redha Allah ? Sama-sama kita muhasabah diri...♥

2 ulasan:

  1. Yup, motivasi yang berguna, jangan bertangguh untuk melalukan perubahan.

    Good point. thanks

    BalasPadam