Mencari Persahabatan Yang Diberkati.

 Hidup ni, akan sampai satu tahap, kita rasa, ujian yang pernah kita lalui itu sebenarnya indah. Ujian membuatkan kita pandai menilai baik dan buruk. Ujian juga membuatkan kita pandai menghargai emosi orang lain. Ujian juga membantu kita menilai sahabat yang baik atau tidak.

 

Entahlah, itu cara CA memandang perjalanan hidup.

 

Sepanjang perjalanan kita adalah pelajaran langsung.

Dari salah faham, akan berjumpa titik faham.

Dari salah jalan, akan jumpa jalan yang betul.

 

Walau kita ada buat salah, kita masih teruskan.

Mudah saja, macam orang jawa kata, "Just endure, eventually you will meet the finish line."

 

Cuma ada satu perkara yang langsung kita tak boleh tinggalkan sebagai seorang Islam, iaitu kembali kepada Allah. Jika hati kita tak pernah lupakan Allah, seberapa jauh kita sesat, Allah akan bawa kita ke jalan yang sepatutnya.

 

Bagi CA, zaman bermusafir, jauh dari keluarga merupakan zaman yang sangat 'mudah pecah' atau kata orang London, FRAGILE.

 

Jika kita terus lupa bahawa Allah Maha Melihat dan Allah Maha Mengetahui, susah untuk kita tetap di laluan betul. Kita akan mudah tersalah masuk lorong dan sangat jauh dengan U-Turn.

 

Itulah sebabnya, penting memilih dengan siapa kita berkawan. CA dikelilingi pelbagai jenis perangai manusia. Tapi antara mereka yang rapat, masih ramai yang menjaga solat.

 

Itulah antara perkara yang amat CA syukuri. Bila kita lalai, ada yang ingatkan. Bila kita jatuh, ada yang tolong bangunkan. Bila kita hampir putus asa, ada yang mengingatkan bahawa kita ada Tuhan.

 

Sebagaimana hadis yang bermaksud:

Dari Abu Hurairah bahwa Rasulullah Salallhu ‘Alaihi Wasalam bersabda,

 

"Seorang itu akan mengikuti agama temannya, kerana iu hendaklah salah seorang di antara kalian mencermati siapa temannya."

(Tirmidzi 2300/2378)

 

Rasulullah Salallhu ‘Alaihi Wasalam juga bersabda yang bermaksud; 

"Sesungguhnya perumpamaan teman dekat yang baik dan teman dekat yang buruk adalah seperti penjual minyak wangi dan tukang pandai besi. Seorang penjual minyak wangi terkadang mengoleskan wanginya kepada kamu dan terkadang kamu membelinya sebagian atau kamu dapat mencium semerbak harumnya minyak wangi itu. Sementara tukang pandai besi adakalanya ia membakar pakaian kamu ataupun kamu akan menciumi baunya yang tidak sedap."

 (Muslim 2628/4762)

 

Jadi sahabat, dalam keadaan apa sekalipun hidup kita, kita pasti dikelilingi orang-orang. Maka pastikan kita bergaul dengan orang-orang yang mengingatkan kita kepada Allah. Kita dekat dengan mereka yang tidak teragak-agak untuk menegur silap kita. Kita dekat dengan mereka yang mahu kita berjaya mencapai jannah.

 

Siapa kita berkawan, akan memberi kesan nasihat apa danpelajaran apa yang kita akan dapat. Maka carilah persahabatan yang berkat.

Insya-Allah.





Cik Ayu is Typing.

Keistimewaan hari Arafah




Setiap tahun ramai umat Islam menantikan hari yang penuh makna ini. Namun masih ramai yang tidak tahu apakah keistimewaan hari Arafah yang sebenarnya. Jadi, CA nak kongsikan serba sedikit mengenai hari Arafah di sini. 

Wukuf di padang Arafah merupakan salah satu rukun haji yang melibatkan penunai haji berkumpul di Arafah pada 9 Zulhijah dalam takwim Hijrah (Hari Arafah). 
Wukuf dilakukan bagi mengingati kembali peristiwa di mana Nabi Adam a.s dan Hawa telah diturunkan ke bumi dari syurga atas sebab mengingkari perintah Allah dan terpedaya oleh tipu daya Iblis. Mereka telah dipisahkan di dunia ini dan mengambil masa 40 tahun untuk bertemu kembali, iaitu di Padang Arafah iaitu di Jabal ar Rahmah. 
Di sinilah bertahun-tahun mereka memohon ampun daripada Allah sebelum permohonan ampun mereka akhirnya diterima Allah. Dengan ini, Padang Arafah bertindak sebagai menjadi tempat muhasabah diri dengan menyesali segala dosa yang dilakukan sebelum ini dan di situlah kita boleh memohon pengampunan daripada Allah semoga permintaan kita diterima. 
Ibadah wukuf dilaksanakan pada selepas gelincir matahari (masuk waktu zohor pada 9 Zulhijjah sehingga sebelum fajar iaitu sebelum subuh pada 10 Zulhijjah.


Antara kelebihan hari Arafah adalah:


1. Ayat al-Quran terakhir diturunkan pada hari Arafah.

Dari sebuah Hadis Sahih,

Telah menceritakan kepadaku Muhammad bin Basysyar, telah menceritakan kepada kami 'Abdur Rahman, telah menceritakan kepada kami Sufyan dari Qais dari Thariq bin Syihab dia berkata,

 Orang-orang Yahudi mengatakan kepada Umar, 

"Sesungguhnya kalian membaca satu ayat, seandainya ayat itu diturunkan kepada kami, maka hari turunnya ayat tersebut pasti akan kami jadikan hari raya." 

lalu Umar menjawab, "Sesungguhnya aku sangat tahu dimana ayat tersebut diturunkan, pada hari apa diturunkan, dan di mana Rasulullah ﷺ berada ketika ayat tersebut diturunkan, bahwa ayat tersebut diturunkan pada hari Arafah dan kami demi Allah pada waktu itu sedang melaksanakan wukuf di Arafah." 

Sufyan berkata, aku ragu tentang, "Hari Jumat atau bukan." yaitu ayat, 

"Pada hari Ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Kucukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Kuredai Islam itu jadi agama bagimu."(QS. Al-Ma'idah ayat: 3).

[Bukhari 4240, Muslim 5332]


Ayat ini membuktikan agama Islam adalah agama yang Allah reda dan segala tatacara untuk kita menjadi seorang Islam telah dilengkapkan. Sepatutnya tidak ada lagi perkara yang kita boleh ubah selain dari apa yang Allah telah ajarkan dan sampaikan kepada Rasulullah ﷺ dalam perlaksamaam ibadah dan amalan yang mengharapkan pahala.


2. Hari Arafah  Diampunkan Dosa dan Waktu Doa Mustajab


عَنْ ابْنِ الْمُسَيَّبِ قَالَ قَالَتْ عَائِشَةُ إِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِي بِهِمْ الْمَلَائِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلَاءِ


Daripada Ibnul Musayyab ia berkata, Aisyah berkata; Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Di antara hari yang Allah banyak membebaskan seseorang dari neraka adalah hari Arafah. Allah mendekati mereka lalu Allah membanggakan mereka (menunjukkan keutamaan) kepada para malaikat. Kemudian Allah berfirman: Apa yang diinginkan oleh mereka?” 

[Sahih Muslim No. 3354]. Status: Hadis Sahih


Pengajaran dari hadis yang boleh diambil;


i. Antara keutamaan Hari Arafah ialah mendapat keampunan Allah. 

Ibnu Rajab Al Hambali mengatakan, “Hari Arafah adalah hari pembebasan dari api neraka. Pada hari itu, Allah akan membebaskan siapa saja yang sedang wukuf di Arafah dan penduduk negeri kaum muslimin yang tidak melaksanakan wukuf. Oleh kerana itu, hari setelah hari Arafah iaitu hari Idul Adha adalah hari raya bagi kaum muslimin di seluruh dunia. Baik yang melaksanakan haji dan yang tidak melaksanakannya sama-sama akan mendapatkan pembebasan dari api neraka dan ampunan pada hari Arafah.


ii. Selain daripada tuntutan berpuasa sunat pada hari arafah bagi yang tidak menunaikan ibadat haji, digalakkan juga untuk berdoa kerana hari Arafah antara sebaik-baik waktu untuk berdoa.


عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ


Dari ‘Amr bin Syu’aib dari ayahnya dari datuknya, Nabi SAW bersabda: Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan yang aku ucapkan serta nabi-nabi sebelumku ialah: "LAA ILAAHA ILLALLAHU WAHDAHUU LAA SYARIIKALAHU LAHUL MULKU WALAHUL HAMDU WAHUWA 'ALAA KULLI SYAI'IN QADIIR (Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah Yang Esa tiada sekutu bagi–Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian dan Dia berkuasa ke atas setiap sesuatu)”. 

[HR. Tirmizi no. 3509]. Status: Hadis Hasan.


iii. Bagi mereka yang pergi menunaikan ibadat Haji, antara waktu dan tempat doa mustajab adalah pada hari Arafah dan di padang Arafah bermula selepas gelincir matahari 9hb Zulhijjah hingga terbit fajar 10hb Zulhijjah. 


iv. Syaikh Sholih Al Munajjid: Mustajabnya doa tersebut adalah umum, sama ada yang menunaikan ibadat haji ataupun yang tidak menunaikan haji disebabkan  keutamaan yang ada adalah keutamaan hari arafah. Sedangkan yang berada di Arafah (yang sedang wukuf pada tanggal 9 Dzulhijjah), ia berarti menggabungkan antara keutamaan waktu dan tempat.


v. Antara zikir yang paling baik dilafazkan dihari Arafah ialah  


لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

(Tidak ada Tuhan Selain Allah, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya segala kekuasaan dan bagi-Nya segala pujian. Dia Mahakuasa atas segala sesuatu.”)

Rebutlah peluang kelebihan hari wukuf di arafah dengan puasa sunat (bagi yang tidak mengerjakan ibadat haji) dan perbanyakan doa dan zikir.


Wallahua'lam.