FEAR FACTOR KHALID AL WALEED

Assalamualaikum.. dah lama tak mengarang di blog kesayangan ini. Hari ini nak cerita tentang fear factor. Rasanya saya pun dah lama tak menonton rancangan Fear Factor atau yang seumpamanya.

Kenapa ada rancangan macam tu? Untuk kita mengatasi ketakutan ke atas sesuatu? Untuk apa ? Supaya kita dapat teruskan perjalanan tanpa rasa gentar dan rasa lebih yakin.

Apa pula dengan Saidina Khalid Al Waleed?

Dari pembacaan sejarah Islam dan rujukan dari beberapa sumber, kita tahu tentang siapa Khalid Al Waleed. Sahabat Rasulullah ini adalah seorang wira Islam yg mendapat gelaran Saifullah. Benar sekali, beliau ialah PEDANG ALLAH dan telah membawa kemenangan demi kemenangan kepada Islam dalam peperangan dengan Izin Allah. Beliau sangat berani hingga kehadiran beliau menjadi kegerunan setiap musuh Islam dalam peperangan.

Namun apakah sebenarnya FEAR FACTOR bagi Khalid Al Waleed ? Kiranya kita berada ditempatnya, peratusan mengatasi faktor itu amat tipis.. tetapi tidak beliau...

Sebaik memeluk  Islam, setiap muslimin pasti akan mendalami Al-Quran. Begitulah yang dilakukan Khalid Al Waleed.  Berapa ramaikah antara kita tahu tentang kisah Al Waleed iaitu bapa Khalid yang diceritakan di dalam Al Quran ? Siapakah Al Waleed ini ?

Al Waleed adalah antara pembesar di Kota Makkah yang menentang dakwah Rasulullah. Terkenal dan amat dipercayai sebagai orang yang bijaksana dalam berkata-kata di antara para pembesar. Al Waleed telah di pilih untuk menawarkan Rasulullah SAW pelbagai pilihan antaranya menawarkan kuasa dan juga wanita-wanita untuk meninggalkan dakwah. Namun dengan baik dan bijaksana, Rasulullah SAW telah membalas ajakannya itu dengan membacakan ayat-ayat dari surah Al Fusilat. Ayat-ayat yang membuatkan Al Waleed terpegun dan mengakui bahawa Rasulullah membawa kebenaran.

Namun setelah berhadapan dengan semua pembesar Makkah yang menanti berita dari hasil pertemuannya dengan Rasulullah, Al Waleed yang awalnya mengakui kebenaran Rasulullah telah menarik balik pengakuannya demi pengaruh dan kehormatan dari kaumnya. Dia yang telah mengakui kebenaran menutup pula kebenaran itu.  Kerana itu, turunlah ayat Al-Quran menceritakan tentang ini di dalam surah Al Mudassir yang bermaksud :

{Janganlah engkau bimbang wahai Muhammad} Biarkanlah aku sahaja membalas {orang yang menentangmu} yang aku telah ciptakan dia seorang diri {tidak berharta dan beranak-pinak}.
Lalu aku jadikan baginya harta yang banyak serta anak-pinak yang ramai yang sentiasa disisinya. Dan aku mudahkan kepadanya mendapat kekayaan dan kekuasaan dengan semudah-mudahnya.
Kemudian dia ingin sangat untuk Aku tambah lagi. Tidak sekali-kali akan ditambahi. Sesungguhnya dia telah menentang dengan degilnya ayat-ayat Kami {Al Quran yang disampaikan oleh Rasul Kami}.
Aku akan menyiksanya dengan azab yang memuncak beratnya. Kerana sesungguhnya dia telah memikirkan dan mereka-reka berbagi tuduhan terhadap Al Quran. Maka binasalah dia hendaknya!
Bagaimana dia berani mereka-reka (tuduhan-tuduhan itu). Kemudian dia telah bertenung dan memikirkan (berkali-kali jalan-jalan mencaci Al Quran, tetapi dia gagal). Kemudian dia memasamkan mukanya serta dia bertambah masam dan berkerut. Kemudian dia berpaling dari kebenaran dan berlaku sombong angkuh.
Lalu dia berkata "Al Quran ini tidak lain hanyalah sihir yang dipelajari dari ahli-ahlinya". "Ini tidak lain hanyalah kata-kata rekaan manusia'. (Disebabkan kekufurannya itu) Aku akan masukkan dia kedalam neraka Saqar.
 (Al Mudassir 11-26)

Apa yang terjadi kepada Khalid Al Waleed ? Dari beberapa sejarah yang disampaikan, Sebaik Khalid Al Waleed memeluk Islam, beliau telah cuba menghafal ayat-ayat Al Quran dan antara ayat-ayat terawal yang beliau mahu hafalkan ialah ayat-ayat di atas........ayat-ayat yang menceritakan kemarahan Allah kepada bapa kandungnya.

Bagaimana beliau menahan hati nurani, membayangkan hukuman yang bakal diterima oleh bapanya sedangkan beliau telah diselamatkan oleh Kalimah Syahadah yang diucapkannya ? Sanggupkah kita berada ditempat beliau ? Dengan mengetahui keadaan dan azab yang diterima oleh penghuni di neraka Saqar ?
Mengetahui yang ayahnya adalah salah seorang penghuni neraka Saqar itu ?

Namun Khalid Al Walid mengatasi perasaan sedihnya dengan kecintaannya kepada Allah dan Rasul. Beliau telah  berjuang demi mendapatkan kemenangan Islam. Beliau telah bersedia untuk syahid pada bila-bila masa.........Beliau tidak takut mempertaruhkan nyawanya untuk memperjuangkan kebenaran.

Tiada lagi faktor takut, kecuali takut kepada Allah Swt. Jadi apakah perkara yang lebih besar yang kita hadapi dalam menegakkan keimanan kita berbanding Khalid Al Waleed ?